Ahli Parlimen Kinowit, Datuk Aaron Ago Dagang hadir pada Pembentangan Bajet 2023 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan tiada keperluan untuk menggubal atau memperkenalkan undang-undang baharu bagi mengawal perpaduan di Malaysia.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, undang-undang sedia ada kini sudah memadai untuk memelihara dan memperkasakan perpaduan kaum di negara ini.

Malah, katanya, akta-akta sebelum ini sudah mengambilkira pelbagai aspek kawalan bagi mengekang unsur-unsur yang boleh menjejaskan keharmonian.

“Bagaimanapun kalau keadaan mendesak dan kerajaan memikirkan bahawa undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula untuk pindaan bagi mengekang elemen permusuhan antara kaum dan agama, maka kementerian akan menyokong penuh hasrat tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Aaron berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang ingin tahu adakah kementerian bercadang memperkenalkan undang-undang atau akta bagi membendung elemen permusuhan antara kaum dan agama.

Menurut beliau, antara akta yang masih berkuat kuasa ialah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi mengawal kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Selain itu, Kanun Keseksaan (Akta 574), akta yang digubal bagi membolehkan seseorang dihukum atas kesabitan jenayah dengan tujuh seksyen yang berkaitan dengan perpaduan kaum dan keagamaan juga masih dikuatkuasa. – MalaysiaGazette