Perdana Menteri hadir program iftar yang turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin komuniti Islam di China dan juga tokoh-tokoh korporat Malaysia. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

BEIJING – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa perniagaan Malaysia di luar negara untuk membantu membina semula ekonomi negara dengan menggalakkan dan memudahkan lebih banyak pelaburan ke dalam negara.

“Isu utama ialah bagaimana kita (perlu) membina semula negara kita melalui pelaburan domestik dan pelaburan langsung asing yang besar.

“Anda boleh melabur di luar negara tetapi apa yang diperlukan ialah memfokuskan semula pelaburan ke Malaysia. Kini adalah masanya,” katanya pada majlis iftar yang dihadiri lebih 300 orang terdiri daripada ahli perniagaan Malaysia dan pemimpin komuniti Islam di China di sini malam ini.

Acara itu, dihoskan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia di China (Maycham China) dan Kedutaan Malaysia di China, diadakan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke sini pada minggu ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut meminta barisan menteri yang mengiringi beliau dalam lawatan itu untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mempermudah kemasukan pelaburan ke Malaysia.

“Kepada kalangan rakan sekerja saya di sini, pesanan saya jelas. Kita perlu melaksanakan apa juga langkah yang diperlukan serta wajar untuk memudahkan dan melancarkan usaha menjalankan perniagaan dalam menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara,” katanya.

Mengulas pertemuan beliau dengan Presiden China Xi Jinping, Anwar turut menyuarakan kekaguman di atas sikap rendah diri pemimpin dan negarawan kanan tersebut.

Perdana Menteri telah melakukan kunjungan hormat ke atas Xi di Great Hall of the People di sini, petang tadi.- BERNAMA