Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan beramah mesra dengan orang awam pada Majlis Pelancaran E-Kaunter dan Perasmian Piagam Pelanggan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) di Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam, Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 31 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Bas sekolah dan pengangkutan awam akan dikecualikan daripada menerima subsidi bersasar diesel yang akan diperkenalkan kerajaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, bas sekolah dan pengangkutan awam akan terus menikmati subsidi diesel bagi mengelakkan berlaku kenaikan tambang.

“Tetapi subsidi bersasar diesel ini tidak akan dikenakan kepada bas sekolah dan pengangkutan awam sebab kita tidak mahu ada kenaikan dari segi tambang bas dan seumpamanya,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran E- Kaunter dan Piagam Pelanggan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Ahmad berkata, perisian subsidi bersasar bagi diesel dijangka siap menjelang suku kedua tahun ini.

“Pada suku kedua tahun ini kita akan cuba menyelesaikan perisian untuk subsidi bersasar diesel mungkin bulan enam hingga lapan perisiannya sudah lengkap baru kita boleh lancarkan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, subsidi bersasar bagi petrol masih dalam perbincangan.

“Saya harap kita dapat menyegerakan, tarikhnya belum ada tapi kita bekerjasama dengan KPDN untuk melaksanakannya.

“Kita ada jawatankuasa khas mengenai perkara itu dan beberapa jabatan terlibat bagaimana untuk melaksanakannya,” tambah beliau.

Jelas Ahmad, antara yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan adalah agihan subsidi petrol bersasar untuk T20 yang hidup di bandar dengan kos sara hidup yang tinggi jika dibandingkan kumpulan yang sama namun menetap di kawasan pinggir bandar atau pekan.

“Ada MP semalam mengatakan tidak semua T20 kita boleh ketepikan kerana golongan itu yang hidup di bandar dan kampung kos sara hidup tidak sama. Tekanan T20 di Kuala Lumpur lebih tinggi. Jadi ini antara perincian yang perlu diteliti sebelum kerajaan laksanakan subsidi petrol bersasar,” ujarnya.-MalaysiaGazette