KUALA LUMPUR – Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menolak pindaan Akta Pencen 1980 bagi membolehkan pelantikan kakitangan awam ke jawatan tetap terus diberikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaksanakan.
Presidennya Datuk Adnan Mat berkata, pindaan akta berkenaan dibimbangi akan memberi kesan kepada semua penjawat awam yang kehilangan hak untuk memilih skim tetap berpencen ataupun caruman KWSP.
“Sedangkan perkara ini sememangnya sudah sedia ada dalam Akta Pencen 1980 yang memberi pilihan kepada penjawat awam sama ada memilih skim pencen atau KWSP.
“Sebarang pindaan ke atas Akta Pencen 1980 sepatutnya tidak mengurangkan apa-apa faedah yang diterima oleh penjawat awam pada ketika ini,” katanya menerusi kenyataan.
Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, KKM sedang berbincang dengan JPA untuk menyerapkan petugas perubatan berstatus kontrak ke dalam sistem perjawatan tetap tanpa diberikan pencen.
Jelasnya, langkah tersebut bagi menangani bebanan tugas yang melebihi kapasiti sumber sedia ada serta untuk mengurangkan beban skim berpencen ditanggung negara ketika ini yang mencecah RM29.1 bilion pada 2021.
Sehubungan itu Adnan berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam turut melibatkan Cuepacs dalam perbincangan bagi menyelesaikan permasalahan doktor kontrak ketika ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan tidak harus hanya memberi tumpuan kepada pegawai perubatan sahaja dalam isu serapan pekerja berstatus kontrak.
Sebaliknya Adnan berkata, terdapat puluhan ribu lagi perjawatan dalam KKM dan juga kementerian lain yang juga berstatus kontrak dan menunggu masa penamatan khidmat.
“Di KKM sendiri selain pegawai kesihatan berstatus kontrak, terdapat perjawatan lain yang kritikal masih berstatus kontrak seperti jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam, jururawat masyarakat, juru x-ray dan juruteknik makmal perubatan.
“Mereka ini juga berada di sektor yang kritikal serta perlu diberi perhatian yang sama oleh kerajaan. Sejak sekian lama Cuepacs berpendirian lantikan kontrak dalam kalangan penjawat awam, terutama dalam sektor kesihatan ini tidak sepatutnya diamalkan,” jelasnya. – MalaysiaGazette