Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bercakap pada sidang media selepas Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka ke-13 di Dewan Seri Negeri Ayer Keroh, Melaka. Foto MUHD NA’IM, 31 MAC 2023.

MELAKA – Nasib sama ada perkhidmatan bekas Exco Melaka yang kontroversi, Datuk Muhammad Jailani Khamis masih diperlukan atau sebaliknya akan diketahui sebelum Isnin ini.

Ketua Menteri Ke-13 yang baharu dilantik, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut menyindir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia itu.

“Nanti kita cari rumah la, rumah mana atap bocor (untuk Jailani). (ada tindakan terhadapnya?), kita tunggu dan lihat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka ke-13 di Dewan Seri Utama Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka Ayer Keroh hari ini.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Jailani mengenai pertukaran jawatan Ketua Menteri Melaka yang menyifatkan ia ‘Ketua Menteri tebuk atap’ atau ‘Ketua Menteri pintu belakang’.

Jailani yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 atas tiket PKR adalah antara empat ADUN Pakatan Harapan (PH) yang melompat menyokong Barisan Nasional (BN) bagi mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2020.

Beliau kemudiannya dikatakan dipecat parti itu sebelum mengumumkan menyertai UMNO bagi membolehkannya dipilih bertanding semula mewakili BN pada Pilihan Raya Negeri pada 20 November 2021. – MalaysiaGazette