Nurulhidayah Ahmad Zahid. Foto Facebook Nurulhidayah Ahmad Zahid Official

KUALA LUMPUR – Pegawai Sukarelawan Askar Wataniah Lt. Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya anggota Askar Wataniah (AW) turut diberikan bantuan khas Aidilfitri.

Exco Wanita UMNO itu berkata, kebanyakan anggota AW terdiri daripada kalangan mereka yang tidak berpendapatan tinggi.

Nurulhidayah turut menegaskan, beliau meminta supaya dirinya dikecualikan daripada menerima bantuan khas tersebut.

“Saya Lt. Datuk Nurulhidayah merasa terpanggil untuk mewakili Askar Wataniah untuk menyatakan harapan dan rayuan daripada AW agar kami juga turut diberikan peluang untuk merasa bantuan khas yg telah diumumkan baru-baru ini kecuali bantuan khas RM300 untuk diri saya.

“Untuk pengetahuan umum, AW bukanlah satu pasukan mewah dan rata-rata anggota dan pegawai adalah di kalangan B40.

“Saya bersama-sama pasukan AW ini juga adalah salah satu cara untuk saya membantu pasukan kami untuk bergerak dengan menjadi pemudah cara pasukan saya amat saya cintai ini,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, AW turut menabur jasa dan bakti dalam menjaga keselamatan negara.

Nurulhidayah yang telah berkhidmat selama lebih 12 tahun dalam wataniah berkata, sekiranya diluluskan bantuan khas tersebut bakal memberikan kelegaan kepada anggota AW.

“Dengan tidak mencampuri urusan pentadbiran Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Kabinet, saya merayu agar meneliti semula bantuan khas RM300 ini untuk pasukan AW.

“Kerana kami juga adalah barisan anggota dan pegawai sukarelawan yang berkhidmat untuk negara secara rasmi dan berdaftar.

“Saya harap ia sedikit sebanyak dapat membantu anggota dan pegawai pasukan AW yang tergolong dalam B40 yang tidak pernah mengenal erti penat dan jemu dalam menjalani latihan dan khidmat bakti dalam pasukan Siri 500 Askar Wataniah,” kata Nurulhidayah.

Anwar baru-baru ini mengumumkan pemberian sagu hati sebanyak RM300 kepada anggota sukarelawan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam, sukarelawan polis dan bomba.

Beliau turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan sebanyak RM200.

Pengumuman dibuat ketika Anwar membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara. – MalaysiaGazette