Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Mohamad Sabu hairan dengan dakwaan Menteri Besar (MB) Kedah Sanusi Md Nor bahawa majlis berbuka puasa anjurannya di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) dibatalkan selepas kelulusan Dewan A MAEPS ditarik balik.

“Pelik juga saya bila MB Kedah kata – kelulusan sewaan dewan telah ditarik balik oleh KPKM sedangkan Pengurusan Dewan MAEPS belum keluarkan apa-apa surat setuju terima.

“Sebut harga pun belum keluar,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Sanusi yang mendakwa Majlis Berbuka Puasa bersama Anak-Anak Kedah di Perantauan pada hari Ahad, 9 April 2023 yang dijadualkan di Dewan A MAEPS, Serdang telah ditarik balik.

“Kami nak buat majlis berbuka puasa saja pun, dewan tu pun Kerajaan Negeri Kedah akan bayaq sewa, awat laa jadi sampai lagu tuuu. Kedah ni kan menghasilkan 43% beras untuk negara ini…

“Tak paaaa, tak gaduh kalut-kalut kelam kelibut. Program akan diteruskan seperti dirancang. Lokasi terkini akan dimaklumkan segera… Kolompo jugak laaa..,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Soal Mohamad,  macam mana MB boleh sebarkan dulu poster program sebelum lokasi telah disahkan sudah dapat.

Ia kerana pada kebiasaannya, apabila program sudah pasti baru maklumat dikongsi.

Mohamad berkata, program Anak Terengganu di MAEPS tiada apa-apa masalah dan akan berlangsung seperti dijadualkan.

“Oleh kerana YAB dah kata program Anak Kedah akan dibuat di tempat lain – kami kira tak jadilah noo🤭,” ujar Mohamad. – MalaysiaGazette