Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan

PUTRAJAYA – Peralihan kuasa di Melaka tidak akan menjejaskan imej dan prestasi UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini kerana peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri adalah berpunca daripada masalah kesihatannya, bukannya diakibatkan oleh krisis politik.

Sehubungan itu katanya, sebagai Exco kanan kerajaan negeri berkenaan, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh layak menjadi pengganti Sulaiman.

“Saya kira ia tidak menjejaskan apa-apa sebab masalah kesihatan bukan masalah politik. Apabila masalah kesihatan sesuatu yang berlaku di luar jangka dan tentunya perlu diambil alih. Exco kanan ialah Datuk Seri Ab Rauf Yusoh maka selayaknya beliau yang mengambil jawatan itu.

“Beliau juga Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka dan Ketua Bahagian Masjid Tanah dan telah lama memimpin Melaka,” katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran E- Kaunter dan Piagam Pelanggan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Dalam masa yang sama Ahmad memberitahu, tiada isu desakan daripada pihak tertentu terhadap Sulaiman untuk melepaskan jawatannya.

“Kita baca sebabnya adalah masalah kesihatan, kita berharap beliau sembuh dan berubat, dalam masa yang sama kerajaan negeri patut diteruskan dan saya kira Exco kanan patut meneruskannya,”  tambah beliau.

Sementara itu, Ahmad berharap Rauf sebagai ketua pentadbiran baru di Melaka dapat melaksanakan tanggungjawabnya bagi memastikan Kerajaan Perpaduan berjalan dengan dengan baik dan stabil di samping mengutamakan rakyat.

“Jadi pastikan Malaysia Madani boleh dilaksanakan di Melaka, pastikan Kerajaan Perpaduan dilaksanakan di Melaka, pastikan rakyat diutamakan dalam segala perkara yang dibuat di Melaka,” tambah beliau.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan nama Rauf dicadangkan UMNO kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam sebagai pengganti Sulaiman.

Terdahulu Zahid mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu itu pada 28 Mac.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka Ke-13 dijadualkan diadakan di pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka pukul 3 petang ini. – MalaysiaGazette