KUALA LUMPUR – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) kini giat menjalankan usaha untuk mengenal pasti serta mengatasi beberapa isu berkaitan operasi rel yang telah mengakibatkan gangguan perkhidmatan sejak kebelakangan ini.
Dalam kenyataan hari ini, Rapid Rail memaklumkan hal ini susulan beberapa insiden gangguan perkhidmatan melibatkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya serta Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang dan Putrajaya yang telah mengakibatkan kelewatan jadual perjalanan dan kesesakan di platform.
“Siasatan awal atas semua kejadian gangguan mendapati bahawa ia tidak berpunca daripada kegagalan keseluruhan sistem tetapi hanya melibatkan beberapa subkomponen tertentu,” menurut kenyataan itu.
Selain menggiatkan usaha penambahbaikan, Rapid Rail juga telah meningkatkan bilangan kakitangan teknikal di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti serta menyediakan alat ganti kritikal di stesen-stesen agar proses baik pulih dapat dilakukan dengan lebih singkat sekali gus mengurangkan tempoh masa gangguan.
“Kesemua usaha penambahbaikan yang dilakukan adalah bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan pengangkutan berkualiti untuk para pengguna. Ia juga selari dengan komitmen Rapid Rail untuk memastikan keselamatan dan keselesaan para pengguna perkhidmatan rel sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, berlaku beberapa insiden gangguan membabitkan operasi rel perkhidmatan seperti MRT Laluan Putrajaya, MRT Laluan Kajang, LRT Laluan Kelana Jaya, namun Rapid Rail berjaya mengatasi masalah berkenaan dengan kadar yang segera.
“Rapid Rail memohon maaf kepada semua pengguna atas kesulitan yang dialami ketika menempuh waktu gangguan ini dan amat menghargai sokongan orang ramai terhadap perkhidmatan pengangkutan awam kendaliannya,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA