KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan semakan kehakiman oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai amat menyedihkan.
Bagaimanapun, beliau akur dengan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim dalam kes SRC International itu.
“Sedih yang teramat. Tetapi kami akur dengan keputusan yang telah dikeluarkan. Moga Allah melindungi dan memberikan kesihatan yang baik kepada Datuk Seri,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk menyemak semula keputusan mahkamah tertinggi negara sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
Lima panel hakim yang bersidang membabitkan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang serta Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais menolak semakan tersebut dengan keputusan 4-1. – MalaysiaGazette