Syabu bernilai lebih RM6.1 juta dirampas polis dalam serbuan di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Enam lelaki yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah antarabangsa ditahan bersama dadah jenis syabu bernilai lebih RM6 juta.

Tangkapan membabitkan lima warga asing serta seorang lelaki tempatan berusia 21 hingga 45 tahun itu dilakukan Polis Pulau Pinang dengan Pasukan Polis Marin Wilayah 1 bermula Rabu sehingga semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya menahan seorang lelaki pada jam 7 petang, Rabu lalu sebelum membawa kepada penemuan syabu dianggarkan seberat 183 kilogram dalam kereta yang dinaikinya.

Kata beliau, susulan itu membawa kepada penahanan lima lagi suspek di sekitar negeri ini dan yang terakhir di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

“Masing-masing yang ditahan terdiri daripada dua nelayan, buruh binaan (2) serta penganggur (2).

Wang tunai berjumlah RM500,000 turut disita dalam serbuan tersebut.

“Selain itu, penahanan suspek terakhir yang berusia 40-an turut membawa kepada penemuan wang tunai bernilai RM500,000 dalam kenderaan dinaikinya,” katanya pada sidang media di PPM Batu Uban, di sini, hari ini.

Turut disita tujuh kenderaan mewah, satu bot fiber dengan dua enjin serta wang tunai yang mana keseluruhan rampasan dadah dan sitaan bernilai RM8.3 juta.

Menurut Mohd Shuhaily, bot yang dirampas di Sungai Juru itu dipercayai digunakan bagi membawa dadah ke Langsa, Acheh yang mengambil masa selama tiga jam menerusi perjalanan laut.

Kata beliau, bot berkenaan menggunakan kuasa enjin 800 kuasa kuda dan kapasiti bahan bakar sebanyak 3,000 liter dengan kelajuan 50 knot bersama 90 kilometer perjam.

Tujuh kenderaa mewah disita dalam serbuan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

“Dadah dipercayai dibawa dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sebelum dihantar ke negara jiran menerusi laluan laut. Selain itu, masih terlalu awal bagi kita menentukan dalang sindiket.

“Semakan lanjut mendapati kesemua warga asing berkenaan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan mereka aktif dalam kegiatan ini sejak pertengahan tahun 2022.

“Kesemua suspek direman sehingga 5 April depan bagi membantu siasatan dan ini merupakan rampasan kedua terbesar bagi tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette