Mohideen.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyifatkan kempen mogok oleh doktor kontrak yang dijangka berlangsung antara 3 hingga 5 April ini tidak wajar dilakukan.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, ini kerana kerajaan telah berjanji akan meneliti masalah doktor kontrak dan mereka seharusnya diberikan sedikit masa.

Jelas beliau, doktor kontrak seharusnya memberikan pertimbangan yang mana dianggarkan lebih 70 peratus penduduk Malaysia tidak mempunyai sebarang cara perlindungan kewangan tambahan bagi rawatan perubatan selain perlindungan penjagaan kesihatan yang dibiayai oleh cukai sedia ada yang disediakan oleh kerajaan.

“Isu-isu yang berkaitan dengan tuntutan doktor kontrak adalah rumit kerana ia mengambil sedikit masa untuk menyelesaikannya.

“Mereka (doktor kontrak) tidak seharusnya mengambil keputusan terburu-buru seperti mengugut untuk meletak jawatan secara beramai-ramai dan melancarkan mogok di seluruh negara.

“Selain itu, bagi pesakit, mogok akan menimbulkan banyak masalah seperti kehilangan kerja (jika bekerja), membazir wang bagi pengangkutan, kelewatan untuk rawatan, penderitaan berpanjangan, kerosakan yang tidak dapat dipulihkan kepada kesihatan, gangguan ubatan berbahaya dan kematian,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah Mohideen, mogok itu juga melanggar kontrak sosial yang tersirat antara doktor dan pesakit dan menafikan pengisytiharan perkhidmatan, kod dan prinsip etika yang diisytiharkan secara terbuka oleh doktor.

“Mogok itu juga akan menjejaskan segmen penduduk yang paling lemah dan mudah terjejas seperti warga emas dan kanak-kanak kecil.

“Oleh sebab itu, adakah beretika bagi doktor untuk melakukan mogok untuk keuntungan material?,” katanya.

Media tempatan melaporkan kumpulan yang dikenali sebagai ‘Mogok Doktor Malaysia’ memaklumkan, kira-kira 8,000 doktor kontrak bercadang menyertai mogok dengan mengambil cuti perubatan atau kecemasan secara beramai-ramai atau meletakkan jawatan beramai-ramai pada awal April ini. – MalaysiaGazette