Wan Rosdy Wan Ismail mengiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah untuk berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Sungai Koyan, Pahang.

LIPIS – Sebanyak tiga buah masjid di Pahang telah diiktiraf untuk dijadikan Masjid Warisan, kata  Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, pengiktirafan tersebut merupakan antara sembilan inisiatif kerajaan negeri dalam menyebarkan syiar Islam di Pahang.

“Tiga Masjid Warisan Negeri merupakan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Felda Sungai Koyan Lipis; Masjid Abu Bakar, Temerloh dan Masjid Negeri Lama, Lipis.

“Seramai empat orang pegawai masjid akan ditempatkan di tiga buah masjid ini dengan melibatkan kos sebanyak RM385,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pemanngku Raja Pahang berbuka puasa bersama rakyat dan pengurniaan sumbangan kepada golongan memerlukan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di Sungai Koyan, semalam.

Sementara itu, Wan Rosdy memberitahu, sebanyak RM148.23 juta diperuntukan bagi memperkasakan institusi agama Islam di Pahang.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, RM1.85 juta dikhususkan bagi tujuan pembangunan di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Selain itu, tambahnya, sebanyak RM900,000 diperuntukan untuk  penambahbaikan kemudahan peralatan mengajar serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di 18 sekolah agama rakyat manakala RM7 juta disediakan untuk membina asrama lelaki Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar, Jerantut.

“Kerajaan negeri juga melantik 14 orang Pekerja Sambilan Harian (PSH) dari kalangan Orang Asli bagi membantu program dakwah di kawasan Orang Asli di negeri ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette