KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan perasaan takut kerana tidak dapat bercakap secara terbuka berkaitan masalah yang dihadapi orang Melayu.
Beliau yang merupakan perdana menteri keempat dan ketujuh serta mentadbir negara lebih 24 tahun turut bimbang sekiranya tidak dibenarkan bercakap mengenai isu orang Melayu secara dalam talian.
Menurut Mahathir, beliau risau dikenakan Akta Hasutan jika terus bercakap mengenai nasib orang Melayu melalui Kempen Proklamasi Orang Melayu yang digerakkan beliau.
“Saya takut. Nak guna sosial media ini bolehkah? Akan dituduh menghasutkah?
“Saya minta ampun jika dakwaan ini salah. Jika salah saya mengeluh tentang nasib orang Melayu, tak apalah. Saya tidak lagi akan mengeluh.
“Orang Melayu miskin jual negara. Okaylah. Orang miskin tidak perlu negara. Jangan buat apa-apa. Itu hasutan.,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Sementara itu, Mahathir mendakwa lokasi pogram Kempen Proklamasi Orang Melayu bagi membincangkan isu orang Melayu telah ditolak sebanyak empat kali.
Mahathir berkata, ada pihak telah meletakkan label bahawa program itu berbentuk satu hasutan.
“Apa sudah jadi. Saya takut. Kerana di tanah air saya, di Malaysia, di Tanah Melayu saya tidak boleh bercakap berkenaan masalah orang Melayu.
“Tidak boleh berjumpa pun. Tidak ada tempat. Semua tolak. Empat kali kena tolak ‘atas arahan pihak atasan’.
“Nak lancar proklamasi orang Melayu tanpa sentuh kaum lain, itu hasutan. Sedition,” kata Mahathir di media sosial.
Mahathir mula mengerakkan Kempen Proklamasi Orang Melayu secara dalam talian selepas lokasi untuk mengadakan perhimpunan mengenainya dibatalkan beberapa kali.
Dalam kenyataan, sekretariat pergerakan itu berkata, kempen dalam talian tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada orang Melayu tentang agenda pergerakan itu untuk bangsa dan negara.
“Kempen ini akan dilakukan secara berterusan agar sampai kepada semua orang Melayu yang cintakan negara,” katanya.
Turut terdapat dalam kenyataan itu ialah kod QR untuk diimbas dan pengguna dibawa ke borang Google Docs yang mendakwa bahawa orang Melayu telah dipinggirkan di negara ini, dan dilucutkan kuasa politik.
“Orang Melayu tidak lagi boleh menentukan nasib mereka sekarang dan pada hari-hari akan datang.
“Ini disebabkan oleh kecuaian pemimpin Melayu sendiri,” menurut beberapa perkara yang disenaraikan dalam dokumen itu.
Berikutan pembatalan perhimpunan yang dirancang, Mahathir menggelar Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai ‘penindas’ selepas bekas perdana menteri itu menganggap kerajaan sebagai dalang di sebalik kegagalan mereka berhimpun.
Mahathir bagaimanapun tidak memberikan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan tersebut. – MalaysiaGazette