Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.-Foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO berharap Lembaga Pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil kira penghujahan Hakim Besar Sabah dan Sarawak,  Datuk Abdul Rahman Sebli.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kenyataan yang dikeluarkan Abdul Rahman merupakan satu hujah yang kuat.

“Diharapkan Lembaga Pengampunan kelak akan mengambil kira penghujahan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Yang Amat Arif Dato Abdul Rahman Sebli yang juga merupakan hakim paling senior di kalangan lima hakim yang terlibat dalam semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

“Antara hujah beliau yang begitu kuat dan membekas, ‘Keadilan bukan semata-mata menentukan seseorang itu bersalah atau tidak bersalah. Orang yang dituduh itu mesti mendapat perbicaraan yang adil. Dia juga mesti merasakan dia diberi perbicaraan yang adil. Jika sistem tidak dapat menyediakan ini, lebih baik dia tidak dibicarakan sama sekali,” kata Asyraf Wajdi.

Dalam hantaran di media sosial, Asyraf Wajdi mengucapkan tahniah kepada Abdul Rahman kerana berani mengeluarkan kenyataan tersebut.

Beliau yakin kebenaran untuk Najib yang merupakan bekas Perdana Menteri akhirnya akan ditegakkan.

“Syabas Datuk Abdul Rahman kerana berani berkata benar.

“Moga Allah memberikan kekuatan dan kesihatan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menghadapi ujian besar ini. Insya-Allah kebenaran dan keadilan pasti akan tertegak jua,” katanya.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1 hari ini menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Abdul Rahman yang mempengerusikan panel lima hakim itu membuat keputusan bertentangan.

Anggota panel lain ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan Perkara 42 Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim antara bekas pesalah yang mendapat pengampunan YDPA.

Beliau dibebaskan daripada penjara pada 16 Mei 2018 iaitu beberapa hari selepas Pakatan Harapam menang Pilihan Raya Umum ke-14 apabila mendapat pengampunan daripada Sultan Muhammad V. – MalaysiaGazette