Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersikap sinis dengan tindakan menghalang beliau untuk berdialog dengan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, malam tadi.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, ketika menjadi pembangkang dia boleh masuk ke dalam Universiti Malaya tanpa sebarang halangan.

Namun selepas menjadi anggota kerajaan keadaan menjadi terbalik apabila tidak dibenarkan masuk ke dalam universiti.

“Sewaktu saya berada di blok pembangkang, saya boleh sahaja masuk ke UM, tiada masalah. Tetapi hari ini sudah jadi kerajaan dihalang pula,” katanya di Twitter.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu menegaskan, tujuannya untuk masuk dan bertemu dengan pelajar bukan untuk menjadikan UiTM huru-hara.

Hakikatnya, menurut Syed Saddiq, beliau telah dijemput untuk berdialog bersama mahasiswa mengenai isu yang dekat dengan hati pelajar.

“Penganjur program telahpun buat permohonan secara teratur.
Tetapi tak dibenarkan.

“Ada yang kata dah jadi sebahagian daripada kerajaan tak patut buat konfrontasi sebegini.

“Pelik bin ajaib kalau berdialog pun dikira konfrontasi, saya tak tahu lah apa lagi caranya,” katanya kesal.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, pihak UiTM Shah Alam telah memberikan persetujuan untuk dialog tersebut diadakan selepas bulan ini dan akan dihadiri oleh panelis lain.

Keputusan berkenaan diambil selepas beliau mengadakan perbincangan dengan pihak UiTM.

“Saya sokong dan saya setuju. Tetapi saya nak tekankan, isu mahasiswa sentiasa berjalan.

We need to fight for our students! They need our support!
Suara mahasiswa, suara keramat!” ciap beliau.

Pihak UiTM Shah Alam menghalang Syed Saddiq daripada memasuki universiti itu malam tadi.

Ia berikutan pihak pengurusan memberikan alasan bagi menjaga keharmonian universiti.

Ahli Parlimen Muar itu bersama lebih 50 ahli Mahasiswa Demokratik kemudiannya beredar daripada pintu utama kira-kira pukul 10.45 malam.

Syed Saddiq hadir bagi menyertai Program Jelajah Mansuh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan Dialog Intern Bukan Buruh Percuma. – MalaysiaGazette