Gambar hiasan

ISLAMABAD – Sekurang-kurangnya 11 terbunuh dalam rempuhan di pusat pengedaran makanan Ramadan di bandar selatan Pakistan, dekat Karachi.

Semua yang terkorban adalah lapan wanita dan tiga kanak-kanak.

Polis berkata, rempuhan itu turut mengorbankan beberapa orang apabila ratusan orang mula menolak antara satu sama lain untuk mengambil makanan di luar sebuah kilang.

Sebahagian daripada mereka terjatuh ke dalam longkang.

Sebuah tembok berhampiran longkang turut runtuh.

Menurut polis kejadian itu berlaku kerana pemilik kilang tidak memaklumkan tentang program sumbangan makanan kepada polis.

“Jika rancangan kilang itu diketahui awal, sudah tentu polis akan mengawal kawasan tersebut,” menurut seorang pegawai polis.

Menteri Luar, Bilawal Bhutto Zardari, yang berasal dari wilayah Sindh, mengarahkan pihak berkuasa untuk menyiasat punca kejadian itu.

Rempuhan itu adalah paling tragis di pusat pengagihan makanan Ramadan sejak permulaan Ramadan.

Dengan insiden terbaru itu, angka kematian akibat rempuhan di pusat makanan percuma di seluruh negara meningkat kepada sekurang-kurangnya 21 sejak minggu lalu. – Agensi