ACP A A. Anbalagan

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu lapan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang yang menyamun dan melarikan barang kemas seberat kira-kira 3 kilogram dari sebuah rumah di Taman Bukit Kinrara, Puchong, pada awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 4.10 pagi itu, pengadu yang berada di perkarangan luar rumah telah didatangi lapan lelaki yang memakai baju lengan panjang dan bersarung tangan.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A. Anbalagan berkata, salah seorang daripada suspek telah menumbuk muka mangsa beberapa kali dan memaksanya memberitahu di mana simpanan wang lalu membawa pengadu masuk ke dalam rumah.

“Ketika masuk ke dalam rumah, ibu mangsa yang berada di dalam dipaksa untuk membuka barang kemas yang dipakai dan menyelongkar setiap bilik di rumah tersebut sebelum beredar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain kehilangan emas, mangsa juga hilang wang tunai lebih kurang RM5,000.

Anbalagan berkata, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette