Antara penduduk yang membantah projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link) ketika di Jalan Bandar Kinrara, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 01 APRIL 2023.

PUCHONG – Penduduk Kinrara berhimpun bagi menyuarakan bantahan secara konsisten terhadap Lebuh Raya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link).

Protes yang diadakan hari ini merupakan kali ketiga selepas 2 Julai dan 23 Julai tahun lalu.

Salah seorang penduduk di Bandar Kinrara 1 (BK1) Paveanthen Ramachandran berkata. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari perlu memberi penjelasan sama ada beliau bersetuju atau sebaliknya dengan projek pembangunan lebuhraya berkenaan.

Ini kerana, penduduk masih keliru dengan pendirian kerajaan negeri kerana sehingga hari iniĀ  tiada komunikasi di antara kerajaan negeri dengan penduduk beberapa taman perumahan di kawasan tersebut.

“Saya difahamkan MB sudah bersetuju untuk pembangunan projek ini, kalau betul kami minta beliau turun jumpa kami di sini dan beritahu kami.

“Tidak ada komunikasi, tiba-tiba ada dikatakan taman perumahan di sini akan terjejas untuk jajaran lebuhraya berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, pembinaan lebuhraya tersebut tidak sesuai kerana berisiko memusnahkan pokok-pokok sekali gus akan menyebabkan banjir teruk kelak.

Selain itu, beliau menyifatkan alasan membina PJD Link untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dilihat tidak relevan kerana kawasan Kinrara itu mempunyai kemudahan pengangkutan awam termasuk Transit Aliran Ringan (LRT).

Sebahagian penduduk yang membantah projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link) ketika di Jalan Bandar Kinrara, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 01 APRIL 2023.

 

“Dari segi alam sekitar ada semua pokok di sekitar Bandar Kinrara termasuk di kawasan perumahan ini akan dimusnahkan dan digantikan dengan tar, jadi tempat ini akan jadi lebih panas.

“Boleh bayangkan kalau projek pembinaan ini memakan tempoh bertahun-tahun, jadi masalah banjir di sini akan lebih teruklah nanti. Itu asas yang semua orang tahu

“Alasan yang pemaju bagi pembinaan ini untuk kurangkan kesesakan jalan raya. Tapi logiknya kalau pembinaan lebuh raya itu dibuat bilangan kereta akan lagi bertambah macam mana ia menyelesaikan masalah jalan raya, sedangkan di kawasan ini ada pengangkutan awam, ini tidak relevan.

“Ini nampak macam mahu buat duit dan ambil kesempatan kepada penduduk kami di sini,” tegasnya.

Dalam pada itu, wakil penduduk Bandari Kinrara 1 hingga 7, Dhanaraj Arumugam berkata pembinaan PJD Link asasnya akan menyebabkan harga hartanah di kawasan tersebut menjunam.

Malah beliau mendakwa, jajaran lebuhraya berkenaan bakal melibatkan beberapa perumahan.

Katanya lagi, tinjauan penduduk mendapati majoriti menolak projek tersebut kerana memberi kesan negatif.

Walaubagaimanapun katanya lagi, pihak pemaju tidak pernah mengadakan pertemuan dengan penduduk di situ.

“Akan berlaku pencemaran bunyi, udara dan menyebabkan banjir berlaku di kawasan ini. Tinjauan penduduk tidak dilakukan terlebih dahulu sebelum perjanjian konsesi ditandatangani di antara kerajaan persekutuan dan pemaju,” katanya.

Terdahulu, penduduk kawasan berkenaan mendakwa projek PJD Link telah diluluskan kerajaan secara dasar.

Sehubungan itu, Dhanaraj berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk membuat protes dan bantahan pada masa akan datang sekiranya suara penduduk tidak diendahkan.

Dalam masa yang sama beliau turut merancang untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.- MalaysiaGazette