Datuk Seri Sallehuddin Ishak (kiri), Datuk Hamdan Hussin (tengah) dan Sim Chon Siang (kanan) meninjau pembukaan semula Jalan Teluk Sisek, di sini selepas tiga tahun ditutup.

KUANTAN – Semua kerja-kerja pemasangan paip pembentungan yang membabitkan penutupan jalan di sekitar Kuantan akan dihentikan menjelang sambutan Aifilfitri nanti.

Menurut Datuk Bandar, Datuk Hamdan Hussin, pihak kontraktor terlibat telah dimaklumkan tentang arahan itu  mengikut tempoh waktu tertentu.

“Saya juga sudah memberitahu mereka saiz penutupan jalan tidak boleh dibuat besar membabitkan banyak lorong.

“Contohnya di hadapan Pasar Raya Mega Mall (Mega Mall), hampir tiga lorong ditutup. Kita sudah maklum kepada mereka untuk membuka lebih banyak laluan terutamanya menjelang minggu-minggu akhir bulan Ramadan nanti,” katanya.

Datuk Hamdan Hussin ketika meninjau pembukaan semula Jalan Teluk Sisek, Kuantan selepas tiga tahun

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau pembukaan semula Jalan Teluk Sisek, di sini hari ini bersama Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Sallehuddin Ishak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon siang.

Mengulas berkenaan pembukaan semula Jalan Teluk Sisek, Hamdan berkata, ia akhirnya dibuka untuk laluan pengguna selepas ditutup hampir tiga tahun berikutan kerja-kerja pembinaan pembentungan bandar Kuantan.

“Kita jalankan pemantauan hampir 24 jam dalam minggu-minggu terakhir menjelang tarikh yang dijadualkan siap iaitu hari ini (1 April) supaya pihak kontraktor dapat menunaikan janjinya.

“Bagaimanapun, ini adalah pembinaan sementara. Kita dimaklumkan, jalan ini akan dinaiktaraf secara kekal apabila keseluruhan projek pembentungan dan pembaikan jalan selesai,” tambah beliau.

Hamdan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu membabit keselamatan dan keselesaan masyarakat, justeru pemantauan isu-isu berkaitan sentiasa dilaksanakan.

Sementara itu, seorang pemilik kediaman yang terjejas akibat kerja-kerja pemasangan paip pembentungan itu, Mohamad Rafiq Mohamad Naina, 49,  lega dengan pembukaan semula jalan tersebut.

Mohamad Rafiq Mohamad Naina

“Bila dah siap ni, ‎alhamdulillah lah tiada lagi kesesakan depan rumah saya. Kalau tak, daripada lampu trafik sana nak smpai ke rumah saya ni ambil masa yang lama.

“Bayangkan, saya balik daripada terawih pun ambil masa 15 minit sampai ke rumah daripada lampu trafik tu, kurang 100 meter sahaja,” katanya.

Ketika ditemui MalaysiaGazette, Mohamad Rafiq giat membersihkan jalan masuk ke rumahnya yang baharu dibuat pemaju susulan selesai kerja-kerja projek di situ.

Mohamad Rafiq Mohamad Naina di kediamannya di Jalan Teluk Sisek, Kuantan

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan negeri, Menteri Besar, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Bandar kerana memastikan sentiasa cakna berkenaan keselesaan masyarakat di sini.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan kerja-kerja pembinaan sistem pembentungan yang menjadi punca kesesakan lalu lintas di sekitar bandar raya ini dijangka siap pada akhir tahun lepas.

Pihak pengurusan bagaimanapun memberitahu projek tersebut mengambil masa lebih dua tahun untuk disiapkan ekoran tekanan air bawah tanah sangat tinggi dan kuat, selain faktor kejadian banjir yang kerap melanda. – MalaysiaGazette