ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Kes laporan polis seorang bekas ratu cantik yang mendakwa mendapat ugutan termasuk bunuh kini di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata,  ini kerana pengadu telah membuat laporan di Balai Polis Beranang.

Beliau berkata, siasatan dan tindakan akan dibuat ditempat kejadian berlaku yang dilaporkan pengadu.

“Laporan (di) Beranang di bawah Daerah Hulu Selangor (dan) boleh rujuk sana.

“Dia buat report Di Dang Wangi tapi dijadikan laporan Beranang sebab kejadian di sana.

“Begitu prosedur laporan dan siasatan. Laporan boleh dibuat di mana-mana. Siasatan dan tindakan akan dibuat ditempat kejadian berlaku,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Semalam, seorang peguam mendesak polis untuk membuka kertas siasatan dakwaan bekas ratu cantik yang juga seorang pelakon yang dikatakan telah menerima ugutan bunuh sejak awal tahun ini.

Faizal Rahman berkata, gesaan itu dibuat kerana anak guamannya, Shakila Saiful telah membuat laporan polis pada Januari lalu di Balai Polis Beranang dan terbaharu pada 30 Mac lalu di Ibu Pejabat Polis Polis Dang Wangi terhadap suami dan bapa mentuanya.

Namun, dakwanya, kesemua laporan polis tersebut tidak dibuka kertas siasatan dan tiada sebarang keterangan diambil daripada Shakila sehingga hari ini.

“Laporan polis telah dibuat sejak Januari tahun ini dan anak guam saya tidak pernah dipanggil untuk dirakam percakapan sampai sekarang dan hanya di dimaklumkan semalam bahawa kes ini dirujuk kepada majistret,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini semalam.

Turut hadir, Shakila atau nama sebenarnya, Nor Shakila Mohammad Saiful Islam, 27.

Faizal turut mempersoalkan sama ada kes itu tidak disiasat kerana Shakila membuat aduan terhadap seseorang yang mempunyai kedudukan dan pengaruh dalam masyarakat. – MalaysiaGazette