Datuk Zamil Ibrahim bercakap kepada media selepas membuat laporan polis terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang didakwa melanggar etika kehakiman di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Penyokong Datuk Seri Najib Razak mendesak  Kerajaan Perpaduan menubuhkan satu tribunal siasatan atas alasan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah menyalahgunakan kuasa dengan melindungi Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Menurut wakilnya, Zamil Ibrahim, langkah itu penting bagi memastikan keadilan diberikan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Zamil berkata semakan Hakim Kanan Mahkamah Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mengetuai hakim untuk semakan kes SRC International mendapati terdapat elemen salah guna kuasa terhadap kes berkenaan.

“Kami mengesyorkan kepada kerajaan agar satu tribunal dibuat seperti 1998 memecat Ketua Hakim Negara kerana kita dapati beliau telah melanggar Kod Etika Hakim 2009 sebab ini bukan satu rahsia.

“Empat hari lalu di Thailand, saya telah minta laporan yang terdedah ini palsu,  jadi kita minta Jabatan Kehakiman Negara atau wakil Hakim Negara buat laporan polis kalau pendedahan itu palsu,” katanya selepas membuat laporan media di Ibu Pejabat Derah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang hadir untuk membuat laporan polis terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat kerana melanggar etika kehakiman termasuk apa yang dihujah oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Rahman Sebli di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 APRIL 2023.

Dalam pada itu, Zalim yang juga Timbalan Presiden Kelab Penyokong Perpaduan Ummah menyeru agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan siasatan berkenaan.

“Kalau bukan palsu, mana tindakan terhadap Hakim Mohd Nazlan kerana dia ada kaitan dengan kes Najib, kita tak dengar langsung isu ini dan kerana itu kita minta agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tolong lihat perkara ini.

“Kalau nampak Ketua Hakim Negara atau Hakim Mohd Nazlan ini seleweng tolong ambil tindakan,”

Dalam pada itu, Zamil turut berkata, pihaknya mendapat maklumat bahawa Najib sendiri akan membuat laporan polis terhadap perkara itu.

“Datin Seri Rosmah berkata Najib mungkin akan keluar jika mendapat keizinan KDN untuk membuat laporan sendiri atas laporan yang kami buat hari ini,” katanya dalam sidang media sama.

Sebelum ini, Pergerakan Pemuda UMNO mendesak kerajaan untuk mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi membolehkan Najib diberi keadilan yang lebih telus.

Ketuanya, Dr. Akmal Saleh berkata, skop RCI tersebut perlu mengambil kira penghakiman berbeza Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim dalam semakan kehakiman kes SRC International Sdn. Bhd. di Mahkamah Persekutuan.

Untuk rekod, Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan Najib untuk menyemak semula keputusan mahkamah tertinggi negara sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International. – MalaysiaGazette