Khaled Nordin ketika mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan penggal 2023/2026 buat kali pertama di Bangunan UMNO Johor, hari ini.

JOHOR BAHRU –  Barisan kepimpinan UMNO Johor yang baharu hari ini menzahirkan sokongan kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang memimpin kerajaan negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana ia merupakan kerajaan negeri yang dibentuk Barisan Nasional (BN) susulan kemenangan lebih dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri Johor, Mac, tahun lepas.

“Kerana kita mengakui kerajaan sedia ada adalah kerajaan yang dibentuk oleh UMNO dan kerajaan sedia ada juga menerima hakikat tanpa UMNO, mereka tidak ada di situ.

“Berasaskan daripada itu, parti dan kerajaan bersetuju untuk membentuk satu sekretariat bersama antara parti dan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan penggal 2023/2026 buat kali pertama di Bangunan UMNO Johor, hari ini.

Khaled  yang juga Naib Presiden UMNO itu juga memberitahu, menerusi sekretariat itu, UMNO akan diwakili oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Abdul Halim Suleiman dan Ketua Penerangan Badan Perhubungan Datuk Md Jais Sardey.

Manakala pihak kerajaan negeri pula akan diwakili Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Datuk Zahari Sarip; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor; dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Mohd Hairi Mad Shah.

Dua hari lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  memberi bayangan bahawa penubuhan kerajaan perpaduan di Melaka tidak semestinya akan berlaku di negeri lain termasuk Johor, kerana situasi politik yang berlaku di Melaka, tidak ada kena mengena dengan situasi politik di negeri lain.

Selain itu, Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, fokus UMNO Johor bagi penggal ini  bersama-sama mengembalikan kepercayaan dan memulihkan keyakinan orang Melayu khususnya terhadap UMNO di Johor dan Malaysia amnya.

“Kita akan pastikan UMNO dapat bangkit dengan kita merawat UMNO semula. Kita juga telah bentuk beberapa biro bagi menggerakkan UMNO Johor untuk memastikan ia mencapai matlamatnya dan memastikan ia bergerak secara berkesan,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau turut nenjelaskan UMNO Johor juga akan menyediakan jentera UMNO bagi membantu negeri-negeri yang akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. UMNO BN menang besar di Melaka sama seperti di JOhor…tp kena buat kerajaan perpaduan? Johor tak perlu? Tak penngundi Melaka dibangsat kan oleh Zahid Hamidi laa kan

Comments are closed.