Teo Nie Ching.

JOHOR BAHRU – Sejumlah 50 hab rangkaian gentian optik titik kehadiran atau Point of Presence (PoP) disasarkan akan disiapkan di negeri ini selewat-lewatnya, penghujung November ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, pemasangan gentian optik itu, bukan sahaja boleh meluaskan liputan infrastruktur jalur lebar di kawasan sekolah luar bandar malah turut melibatkan kawasan sekitarnya.

“Dalam Belanjawan 2023, telah diumumkan RM725 juta untuk projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan sasaran kita di Johor ini adalah hendak wujudkan 50 PoP di bawah peruntukan ini.

“Sebenarnya PoP patut siap pada akhir tahun lepas, tetapi sehingga hari ini, tiada satu pun yang telah disiapkan, jadi kami telah berikan satu sasaran baharu iaitu selewat-lewatnya 30 Nov tahun ini perlu disiapkan 50 PoP oleh kontraktor.

“Antara isu menyebabkan projek itu tidak dapat disiapkan hujung tahun lepas ialah kerana menunggu kelulusan agensi berkaitan, justeru Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi memastikan kelulusan diperoleh secepat mungkin sekali gus mencapai sasaran 50 PoP November nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan kurma dan bubur lambuk kepada pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Bazar Ramadan UTM di sini, semalam.

Menurut Teo, liputan rangkaian 4G di kawasan berpenduduk di Johor setakat suku keempat tahun lepas telah mencapai 99.09 peratus manakala liputan 5G mencapai 52.3 peratus.

Mengenai gangguan liputan Internet di Insitusi Pengajian Tinggi (IPT), beliau berkata, pihak berkaitan diminta mengemukakan aduan kepada kementerian sekiranya berdepan masalah tersebut.

“Pasukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan dihantar bagi mengenal pasti punca capaian Internet yang kurang memuaskan di sesuatu kampus.

“Setakat ini, tiada aduan mengenai perkara itu diterima KKD,” katanya. – Bernama