KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar dipuji kerana berjaya meraih pelaburan RM170 bilion ketika mengadakan lawatan rasmi di China.
Vateran DAP, Lim Kit Siang berkata, jumlah pelaburan itu adalah yang terbesar pernah direkodkan oleh mana-mana perdana menteri ketika mengadakan lawatan ke China.
Pelaburan berkenaan membabitkan 19 memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai antara ahli perniagaan China dan Malaysia dalam pelbagai bidang terutamanya teknologi hijau dan ekonomi digital.
“China adalah negara yang kelapan yang dilawati Anwar sejak daripada pelantikannya sebagai Perdana Menteri kurang dari lima bulan yang lepas.
“Dan tidak ada ragu-ragu lagi, negara yang paling berjaya dari segi komitmen pelaburan untuk Malaysia.
“Tujuh negara lain yang telah dilawati Anwar adalah Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Filipina, Turki, Arab Saudi, dan Kemboja!” kata Kit Siang.
Dalam pada itu bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Malaysia dan negara-negara lain di dunia perlu memastikan bencana tidak berlaku akibat pertembungan China dan Amerika.
Kerajaan Malaysia yang mewakili masyarakat majmuk di negara ini perlu memanfaatkan diaspora China dan India di seluruh dunia untuk membantu menghalang konfrontasi kedua-dua negara daripada menjadi perang yang akan mengorbankan jutaan nyawa.
Jelasnya, terdapat 50 juta diaspora China dan 32 juta diaspora India di seluruh dunia.
“Apa yang membimbangkan adalah semboyan perang telah mula didengari dalam persaingan global di antara China dan Amerika Syarikat.
“Akan menjadi satu bencana global sekiranya cubaan AS untuk menyekat China dari menjadi kuasa besar tunggal dunia berakhir dengan sebuah peperangan.
“Malaysia dan negara-negara lain di dunia perlu pastikan perkara ini tidak terjadi, bahawa orang awam di AS perlu menerima yang China akan menjadi negara nombor satu di dunia kerana saiz dan dinamisme rakyatnya,” kata Kit Siang.
Terbaharu ketegangan berlaku apabila, Speaker Dewan Perwakilan AS, Kevin McCarthy berhasrat mengadakan pertemuan dengan Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen dalam siri lawatan pemimpin Taiwan itu ke beberapa negara yang menggunakan Amerika Syarikat (AS) sebagai transit.
China memberi amaran untuk melawan dengan tegas jika pertemuan itu berlangsung, selain ‘perang perdagangan’ kedua-dua negara yang semakin memburuk.-MalaysiaGazette
Pelaburan migran ekonomi dari Tanah Besar Komunis Cina dan India termasuk tentera Tanah Besar Komunis Cina aka PKM dapat hak warganegara tempatan sejak patuh arahan letak senjata dan bukannya letak ideology Komunis oleh Parti Pusat Komunis Tanah Besar Cina sejak September 1988 masih paling terbesar pelaburan yang tiada tandingannya sehingga kini.