Datuk Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Pendukung parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah peringkat akar umbi terus kekal bersama Perikatan Nasional (PN), hanya lapisan di atas sahaja yang berubah haluan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perkara itu dapat diselesaikan dengan baik selepas Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berjaya menyusun semula saf kepimpinan di Sabah.

“Kejayaan Datuk Seri Ronald menyusun semula parti dalam jangka masa singkat menunjukkan iltizam para aktivis parti di Sabah tidak pernah luntur.

“Semasa saya berbual dengan Ketua-Ketua Bahagian Bersatu Sabah baru-baru ini, semangat dan kesungguhan mereka jelas sekali,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Jelasnya, saf kepimpinan Bersatu Sabah juga sudah bermesyuarat secara rasmi membincangkan mengenai bagaimana parti boleh terus mara ke hadapan.

“Ini langkah yang amat memberangsangkan.

“Semoga Bersatu Sabah terus berkembang,” katanya.

Pada Disember tahun lalu, Ketua Menteri Sabah yang juga merupakan Ketua Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor membuat pengumuman keluar Perikatan Nasional dan memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan kepimpinan Bersatu Sabah untuk meninggalkan Bersatu adalah atas dasar ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo. – Malaysia Gazette