Giorgia Meloni
Foto: Fb Giorgia Meloni

ROM – Rakyat Itali yang mengguna bahasa Inggeris atau bahasa asing dalam urusan rasmi kerajaan di negara itu boleh didenda sehingga 100,000 Euro (RM480,000).

Undang-undang itu diperkenalkan Ahli Majlis Perundangan Negara, Fabio Rampelli yang turut disokong Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.

Menurut laporan CNN, walaupun undang-undang itu dikenakan terhadap semua bahasa asing, ia lebih tertumpu kepada ‘anglomania’ atau penggunaan perkataan bahasa Inggeris kerana dilihat merendahkan martabat bahasa Itali.

Rang Undang-Undang (RUU) tersebut akan dibentangkan di Parlimen dengan beberapa peruntukan termasuk pegawai kerajaan perlu menulis, memiliki pengetahuan serta menguasai bahasa Itali.

Ia termasuk larangan penggunaan bahasa Inggeris dalam dokumen rasmi kerajaan selain menetapkan setiap syarikat asing perlu memastikan semua peraturan dan kontrak pekerjaan diterbitkan dalam bahasa Itali.

Malah, RUU yang dicadangkan itu juga berperanan memperbetul penggunaan bahasa serta sebutan Itali di semua sekolah, media dan sektor perniagaan di bawah satu jawatankuasa oleh Kementerian Kebudayaan. – Agensi