Adly Zahari. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

ALOR SETAR – Kerajaan Perpaduan sentiasa komited menjaga kebajikan golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif yang boleh memberikan impak positif dalam meningkatkan lagi tahap sosioekonomi golongan itu.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, antara inisitiaf kerajaan adalah usaha meningkatkan pendapatan veteran ATM melalui peluang kerjaya kedua dengan kerjasama beberapa agensi seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Beliau berkata menerusi inisiatif itu, veteran ATM yang menamatkan perkhidmatan pada tahun ini akan dipadankan dengan peluang pekerjaan atau diberi latihan untuk meningkatkan kemahiran selain pelbagai geran padanan dan dana pembiayaan ditawarkan kepada usahawan veteran.

“Kita mengharapkan semua veteran yang masih belum berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), di mana terdapat lebih kurang 100,000, supaya mendaftar agar kita mempunyai data kerana kita boleh bertindak dengan baik sekiranya data itu diberikan. Kita boleh susun kerjayanya, susun isu yang melibatkan kebajikan dan kesihatan (veteran ATM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat veteran ATM Masrizal Ishak, 42, yang terlantar kerana menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) di kediamannya di Kampung Masjid Hujung, Hutan Kampung di sini hari ini.

Selain itu, Adly berkata, sebanyak 170 rumah disasarkan untuk dibaik pulih manakala 40 rumah disasarkan dibina baharu melalui Progam Inisiatif Perumahan Veteran ATM pada tahun ini.

“Kalau kita lihat dalam KPI (Petunjuk Prestasi Utama) 100 hari kita (Kementerian Pertahanan di bawah Kerajaan Perpaduan), memang kita sasarkan (kelulusan permohonan) pembaikan rumah (veteran) adalah sebanyak 100 permohonan diluluskan. (Tetapi) setakat Mac lepas, sebanyak 121 permohonan baik pulih (rumah) diluluskan iaitu melepasi sasaran 100 permohonan itu,” katanya.

Sementara itu, Adly berkata, bilangan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) RM300 sebulan dipertingkatkan dari 9,000 kepada 15,000 veteran ATM pada tahun ini dengan melibatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM54 juta. – Bernama