Saturday, June 15, 2024
Home Nasional PN harap kerajaan tidak hukum doktor kontrak mogok esok

PN harap kerajaan tidak hukum doktor kontrak mogok esok

Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi - foto MOHD ADZLAN, 18 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) berharap kerajaan tidak menghukum mana-mana doktor kontrak yang akan mengadakan mogok esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Ahli-Ahli Parlimen PN, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, tindakan kumpulan itu adalah selaras dengan amalan demokrasi.

“Kami memperingatkan dan sangat mengharapkan pihak Kerajaan supaya janganlah pula dihukum kakitangan awam yang terlibat dengan mogok tersebut.

“Sayugia diingat dan diharapkan bahawa tunjuk perasaan yang tidak mengganggu ketenteraman awam adalah satu cetusan dan luahan yang normal dalam sistem demokrasi,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Yunus percaya, mogok tersebut diadakan kerana rasa cinta pengamal kesihatan terbabit untuk terus berbakti kepada rakyat.

Justeru beliau menasihati doktor berkenaan agar dapat menjaga diri supaya dapat terus berkhidmat untuk rakyat.

“Kami di peringkat jawatankuasa Kesihatan Perikatan Nasional akan terus memantau dan bersedia untuk mendengar permasalahan yang dihadapi oleh kumpulan ini.

“Sekali lagi kami menyeru kepada pihak kerajaan untuk bersama-sama berganding bahu dalam menyelesaikan masalah ini.

“Ini bukanlah masalah kerajaan semata-mata, malah tanggungjawab ini harus juga diselesaikan bersama pihak pembangkang demi kelangsungan perkhidmatan kesihatan negara yang lebih baik,” tegasnya.

Ahmad Yunus berkata, doktor kontrak terbabit sudah tidak mampu untuk bersabar kerana telah menunggu lama.

Ini termasuklah menanti pembentangan kertas putih kesihatan yang dijangka pada bulan Jun nanti.

Beliau turut mencadangkan supaya satu suruhanjaya perkhidmatan kesihatan ditubuhkan dengan segera untuk berfungsi secara aktif dan melakukan reformasi kesihatan awam.

Beberapa media melaporkan doktor kontrak akan melakukan mogok selama tiga hari bermula esok supaya permasalahan yang dihadapi mereka diberikan perhatian oleh kerajaan.

Kumpulan itu menganggarkan antara 10,000 dan 13,000 petugas kesihatan dmenyertai mogok.

Petugas kesihatan dari serata negara telah menyatakan minat untuk menyertai mogok itu, kebanyakannya di Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, mogok bukan suatu jalan penyelesaian terbaik bagi menangani sebarang masalah berkaitan pegawai perubatan.
Justeru, pada 31 Mac, jemaah Kabinet bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang menggabungkan beberapa kementerian dan agensi termasuk Ketua Setiausaha Negara bagi menangani isu doktor kontrak.-MalaysiaGazette