KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan perbicaraan membabitkan Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berhubung enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion.
Ini kerana Peguam Negara tampil memohon penangguhan tersebut sejurus selepas adanya satu ‘perkembangan baharu’ yang tidak diperincikan ketika ini dalam mahkamah.
Difahamkan, ketika ini, Peguam Negara sedang meneliti surat representasi yang telah dikemukakan oleh Mohd Irwan yang merupakan bekas bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika era Najib menjadi perdana menteri.
Dalam prosiding pagi ini, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memohon supaya perbicaraan ini dapat ditangguh ke tarikh lain.
Untuk makluman juga, sepatutnya Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Jamil Hussin mula mendengar perbicaraan hari ini.
Kedua-dua tertuduh juga tidak membantah permohonan pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan pada hari ini.
Hakim kemudian menetapkan 29 Mei hadapan bagi tarikh sebutan sama ada pertuduhan terhadap Najib dan Mohd Irwan itu ditarik balik atau sebaliknya.
Najib dan Mohd Irwan dituduh melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, mahkamah pernah menetapkan tarikh perbicaraan selama 32 hari sekitar September dan Oktober 2021 bagaimanapun dilapangkan atas permohonan pendakwaan yang tidak dibantah oleh peguam bela.
Pendakwaan juga mendedahkan pihaknya akan memanggil antara 60 hingga 70 saksi untuk memberikan keterangan.
Muhammad Jamil menetapkan pada 1 hingga 4 April dan 8 hingga 11 April serta sepanjang Mei tahun ini bagi tarikh perbicaraan.
Hakim itu juga memerintahkan pendakwaan menyerahkan senarai saksi dan dokumen berkaitan kes kepada peguambela dua minggu sebelum perbicaraan bermula. – MalaysiaGazette