Bashir Ahmad
Bashir Ahmad Abdul Majid

KUALA LUMPUR – Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) melantik Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid sebagai pengerusinya berkuat kuasa 3 April 2023.

Bekas Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd itu kini merupakan penasihat kepada GMR Airports Group yang menguruskan lapangan terbang di India dan luar negara, menurut MRT Corp dalam kenyataan hari ini.

“Dalam kami mengambil kira dasar masa depan mengenai pengangkutan awam, impaknya terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat, pengalaman luas Tan Sri Bashir terhadap model perniagaan yang berubah, hal ehwal kawal selia ekonomi dan penyampaian perkhidmatan akan amat berguna kepada MRT Corp dalam menyokong misi kami untuk memangkin kemampanan bandar dan mobiliti orang ramai,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mohd Zarif Hashim.

Bashir Ahmad memulakan kerjayanya dalam sektor penerbangan apabila beliau menyertai Malaysia Airlines sebagai pelatih pengurusan pada 1972.

Beliau telah bersama Malaysia Airlines selama 29 tahun yang kemudian dilantik sebagai Naib Presiden Eksekutif.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Malaysia Airports dari 2003 hingga 2014 dan seterusnya sebagai penasihat sehingga 2017. – Bernama