Lau Chin Kok PH teng chang khim lynas
Lau Chin Kok

KUALA LUMPUR – Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim dilihat tidak profesional dan ‘kebudak-budakan’ apabila mempertikaikan penyertaan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dalam rombongan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Lau Chin Kok berkata, Chang Khim sepatutnya turut berasa bangga atas kejayaan Anwar menarik komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion daripada China.

Sebaliknya, menurut beliau, pemimpin DAP itu bukan sahaja tidak meraikan Kerajaan Perpaduan malah cuba merosakkannya dengan pelbagai andaian dan tohmahan, hanya semata-mata kerana agenda politik sempitnya.

“Sesebuah lawatan rasmi oleh seorang ketua kerajaan sudah tentu telah dirancang dan diatur dengan teliti, justeru kehadiran Ka Siong bukanlah secara kebetulan.

“Beliau sendiri sudah menjelaskan bahawa perbelanjaan perjalanannya adalah ditanggung oleh beliau sendiri dan tiada sesen pun duit rakyat digunakan.

“Ini termasuklah pemimpin-pemimpin MCA yang lain, turut menanggung sendiri perbelanjaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Chang Kim sebelum ini mendakwa penyertaan Ka Siong dan pemimpin MCA dalam lawatan tersebut merupakan penyalahgunaan dana awam.

Chin Kok menambah, Chang Khim boleh merujuk kepada rakan-rakan DAP yang turut serta dalam rombongan bagi mendapatkan gambaran yang tepat sebelum membuat rumusan sempit yang boleh menjejaskan partinya mahupun kerajaan yang didokong partinya.

“Beliau seharusnya bersikap terbuka, matang dan berlapang dada serta perlu menjadi seorang pemimpin yang bersedia bekerja dalam pasukan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast