KUALA LUMPUR – Selepas empat minggu berturut-turut aliran bersih keluar asing, dana asing kembali semula ke Bursa Malaysia minggu lepas dengan belian ekuiti tempatan sebanyak RM11.5 juta.

Ia adalah permulaan minggu yang lemah kerana Isnin menyaksikan aliran keluar asing bersih sebanyak RM80.1 juta oleh pelabur asing, tetapi sentimen bertambah baik dari hari Selasa dan seterusnya.

Ia selepas data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan Indeks Harga Pengeluar (PPI) menyusut sebanyak 0.8% tahun ke tahun pada bulan Februari 2023 berbanding pertumbuhan 1.3% tahun ke tahun pada bulan sebelumnya.

Penguncupan itu disebabkan oleh kesan asas dan harga yang lebih rendah bagi komoditi utama.

Di samping itu, kebimbangan yang berpunca daripada kegawatan bank di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah nampaknya telah reda, menyebabkan sentimen lebih baik.

Jumaat menyaksikan aliran masuk asing bersih tertinggi sebanyak RM59.6 juta, manakala belian bersih terendah pada hari Selasa pada RM1.0 juta.

Firma penyelidikan MIDF berkata, setakat ini, pelabur asing telah menjual bersih ekuiti tempatan bernilai RM1.87 bilion.

Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk asing bersih minggu lepas ialah perkhidmatan kewangan (RM51.5 juta), teknologi (RM22.6 juta) dan penjagaan kesihatan (RM16.8 juta), manakala tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran keluar asing bersih ialah utiliti (RM54.3 juta), REITs (RM15.6 juta) dan tenaga (-RM13.3 juta).

Sementara itu, pelabur institusi tempatan menjadikan penjual bersih minggu lepas sebanyak RM3.9 juta.

Ia merupakan minggu dagangan bercampur bagi pelabur institusi dengan aliran masuk dilihat pada hari Isnin pada RM39.2 juta dan Rabu pada RM29.6 juta, manakala minggu selebihnya menyaksikan aliran keluar.

Aliran keluar tertinggi dicatatkan pada hari Jumaat kepada RM37.3 juta.

Setakat ini, institusi tempatan telah membeli bersih ekuiti bernilai RM1.77 bilion.

Firma penyelidikan itu menambah, pelabur runcit tempatan juga menjadi penjual bersih minggu lepas selepas mereka menjual bersih ekuiti berjumlah RM7.6 juta.

Minggu bermula kukuh dengan aliran masuk dicatatkan pada hari Isnin pada RM41.0 juta dan Selasa RM12.8 juta, manakala baki minggu menyaksikan aliran keluar oleh pelabur runcit.

Aliran keluar tertinggi dicatatkan pada hari Rabu sebanyak RM34.6 juta.

Menurutnya, pelabur runcit menjadi pembeli bersih setakat ini kepada RM91.9 juta.

Dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan sebanyak 12.5%, institusi tempatan (13.9%) dan pelabur asing (12.3%). – MalaysiaGazette