KUALA LUMPUR – Definisi perkataan itu ‘tidak betul’ dan ‘berbohong’ menjadi pendebatan hangat di Dewan Rakyat di sini hingga menyebabkan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim diperintah keluar selama sejam hari ini.
Ini kerana Ahli Parlimen kerajaan berpendapat, kedua-dua ayat itu tidak membawa maksud sama kerana berbohong bermakna tindakan dengan niat untuk menipu orang lain.
Insiden ini bermula apabila Awang mempertikaikan kenyataan mengenai tanah rizab Melayu yang dijawab Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad minggu lalu yang mengatakan Kedah adalah negeri paling banyak kehilangan tanah rizab Melayu.
Ahli Parlimen Pendang itu berkata, beliau memiliki fatwa tepat daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah sambil mendakwa menteri telah berbohong mengenai kenyataan itu.
“Menteri kalau tidak ada maklumat, jangan bercakap. Jangan berbohong di dalam dewan ini.
“Menteri yang tidak reti bercakap ini telah mengelirukan dewan. Tarik balik dan mohon maaf dengan mengatakan Kedah negeri paling banyak hilang tanah rizab. Janganlah hendak cungkil pun tetapi profesionallah,” katanya ketika membahasakan Rang Undang-Undang Kewangan 2023.
Selepas itu, Lim Guan Eng (PH-Bagan) bangun dan mengadu kepada Timbalan Yang Dipertua, Alice Lau Kiong bahawa Awang telah menggunakan perkataan ‘ menteri bohong’ dan meminta untuk menarik balik.
Awang bangun mempertahankan kenyataannya dengan mengatakan fakta yang tidak betul adalah membawa maksud bohong.
Syahredzuan Johan (Bangi-PH) pula bangun dengan mengatakan fakta yang tidak betul mungkin berlaku terdapat kesilapan dan tidak semestinya berbohong.
Akhirnya, Alice membuat keputusan dengan mengarahkan Awang menarik balik perkataan bohong itu dan hanya menggunakan perkataa tidak betul dalam kenyataannya.
Beliau turut menasihat sekiranya menteri telah mengelirukan dewan, Awang sepatutnya mengemukakan usul dan bukannya mengata menteri berbohong.
Walapun didesak menarik balik perkataan itu, Awang masih enggan dan Alice mengarahkan beliau agar keluar dewan selama sejam.
Namun insiden itu terus berterusan apabila Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Pas) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) turut masuk campur sehingga Alice turut memberi amaran agar kedua-dua keluar dewan mengikut jejak Awang.
Pada 29 Mac, Nik Nazmi memaklumkan, tanah rizab Melayu di Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkurangan antara 2021 dan 2022.
Tanah rizab Melayu di Kedah berkurangan daripada 721,888.93 hektar kepada 716, 537.28 hektar, kata beliau.