Sebilangan doktor kontrak berkumpul sebagai tanda protes bagi menyahut seruan gerakan Hartal Doktor Kontrak susulan rasa tidak puas hati dengan cara pengendalian isu tersebut ketika di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 26 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Sekretariat Hartal Doktor Kontrak mahu menjadi ahli jawatankuasa yang akan ditubuhkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menangani isu doktor kontrak.

Menurutnya, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa perlu melihatkan mereka sebagai wakil doktor kontrak dalam menangani isu melibatkan kumpulan itu.

“Kami menggesa Dr. Zaliha memasukkan Hartal Doktor Kontrak sebagai ahli jawatankuasa untuk mewakili doktor kontrak dengan sewajarnya dalam jawatankuasa itu.

“Tanpa perwakilan yang betul, jawatankuasa tidak akan cukup berkesan untuk menyelesaikan isu ini dan akan sama seperti beberapa jawatankuasa terdahulu yang meneliti isu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media pada 1 April lalu melaporkan, Jemaah Menteri bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak yang menjadi topik hangat dalam negara ketika ini.

Dr Zaliha, berkata jawatankuasa itu akan menggabungkan beberapa kementerian dan agensi termasuk membabitkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Kenyataan tersebut susulan desas-desus kemungkinan mogok oleh doktor kontrak pada 3 hingga 5 April.

Menurut sekretariat itu, pihaknya akan membantu menteri dalam mengatasi isu doktor kontrak.

“Langkah seterusnya ialah menubuhkan suruhanjaya penjagaan kesihatan negara yang akan menyelia, memutuskan dan menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan negara kita.

“Kami akan bekerjasama dengan Dr. Zaliha dan menteri lain untuk mempercepatkan proses ini,” katanya.

Sementara itu Sekretariat Hartal Doktor menafikan pihaknya terbabit dalam ‘Mogok Doktor Kontrak’ yang didakwa berlangsung bermula hari ini hingga 5 April.

Perkara tersebut telah dijelaskan kepada Dr Zaliha, pihak polis dan media.

“Walaupun kami tidak terlibat, kami percaya adalah hak mereka untuk membantah.

“Kami berharap penjagaan pesakit tidak terjejas dan perkhidmatan penjagaan kesihatan boleh disambung semula setelah bantahan selesai,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast