Zailani Hashim. Foto HAZROL ZAINAL, 13 DISEMBER 2022.

KUALA KANGSAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mengutip hasil sebanyak RM807 juta sehingga Februari lepas, RM28.8 juta daripadanya ialah kutipan melalui kaunter JPJ negeri Perak.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, sebanyak RM196,065 dikutip melalui kaunter bergerak JPJ Mobile dan RM1,709,184.50 (RM1.7 juta) lagi melalui kios fasa tiga.

“Kejayaan ini merupakan kejayaan kita bersama sebagai satu pasukan meliputi seluruh warga kerja cemerlang JPJ, dengan kolaborasi erat rakan-rakan strategik, dan pemain-pemain industri serta pihak berkepentingan, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya.

Teks ucapan Zailani dibacakan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan JPJ, Mohd Tarmizi Abd Talib pada Majlis Perasmian Kaunter Pandu Lalu Stesen Penguatkuasa Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan.

Zailani turut memaklumkan sehingga Mac lepas, JPJ telah merekodkan sebanyak 35,309,623 kenderaan terkumpul seluruh Malaysia dan daripada jumlah tersebut sebanyak 2,371,318 kenderaan terkumpul direkodkan di negeri Perak.

Manakala bagi tempoh sama pemegang lesen memandu aktif terkumpul seluruh negara adalah sebanyak 14,757,707, daripada  jumlah tersebut sebanyak 530,927 pemegang lesen memandu aktif telah direkodkan di negeri Perak.

Sementara itu, Mohammad Yusoff berkata, perkhidmatan kaunter pandu lalu Kuala Kangsar akan memanfaatkan 150,000 orang penduduk di kawasan tersebut dan rakyat di negeri Perak secara amnya.

“Ini merupakan kaunter pandu lalu keempat selepas Pulau Pinang, Sabah dan Negeri Sembilan. Kami telah usahakannya sejak 2021 dan telah mendapat peruntukan pada 2022 sebanyak RM360,000 termasuk kos peralatan.

“Sejak perlaksanaan perkhidmatan ini pada bulan lepas bermula 1 hingga 31 Mac, kami dapat mengutip RM256,000,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan bahawa kerajaan sentiasa cakna dan responsif kepada maklum balas rakyat yang mahukan kepelbagaian mod perkhidmatan bersesuaian dengan kehendak dan keperluan semasa terutama di kawasan tempatan.

Katanya, setakat ini JPJ Perak menerima purata pelanggan sekitar 4,200 orang setiap hari dengan pengoperasian sebanyak 28 kaunter. – Bernama