Tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Mengeluarkan produk cecair atau gel nikotin daripada Akta Racun 1952 merupakan dasar paling tidak masuk akal.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan Prof. Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, beliau sangat kecewa dan terkilan dengan langkah yang diambil.

“Semoga Allah melindungi anda semua dan terutamanya anak-anak Malaysia kita dan akan berurusan dengan pembuat dasar yang membuat keputusan dasar kesihatan awam yang paling tidak masuk akal yang pernah saya lihat.

“Ia seperti mereka membuka pintu banjir apabila mereka tidak mempunyai kunci untuk menutupnya kembali, hampir menghampiri kebodohan dalam membuat dasar,” kata Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan) Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU).

Lokman Hakim berkata, pihak berkuasa boleh membetulkan ‘kesilapan’ tersebut sehingga satu akta yang boleh mengawal penggunaan nikotin dalam industri vape digubal.

“Sekurang-kurangnya kerajaan boleh lakukan untuk membetulkan keputusan yang mengerikan ini ialah menahan cukai vape seperti yang dituntut oleh semua badan profesional kesihatan, sehingga satu akta yang boleh mengawalnya digubal oleh Parlimen,” kata Lokman Hakim dalam kenyataan.

Prof. Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman

Pakar Perunding Kesihatan Awam itu menjelaskan, mengeluarkan produk cecair atau gel nikotin daripada akta racun mengundang implikasi kesihatan kepada rakyat.

Penggunaan nikotin selama ini dikawal di bawah akta racun kerana pada dos tertentu ia boleh menyebabkan kesan buruk.

Jantung berdenyut terlalu laju atau arythmias dan boleh menyebabkan kematian antara kesan pengambilan nikotin berpanjangan.

“Rokok juga mengandungi nikotin. Namun nikotin ini hadir secara semula jadi daripada daun tembakau atau nama lainnya Nicotina Tobaccum. Tetapi paras nikotin dalam rokok di kawal di bawah Peraturan Kawalan Hasil Tembakau.

“Kesan keracunan akut nikotin dalam bentuk cecair adalah lebih tinggi berbanding nikotin semulajadi dalam daun tembakau. Vape bukan tembakau maka peraturan rokok tidak terpakai untuk vape,” jelasnya.

Artikel berkaitan: Tarik dahulu keputusan keluarkan nikotin dari Akta Racun – Akmal

Ramai gusar nikotin bukan lagi dalam senarai racun – Pas

Dengan mengecualikan cecair rokok elektronik yang bernikotin dari akta racun maka sesiapapun termasuk pengusaha vape boleh mengimport cecair rokok elektronik tanpa sebarang kawalan terutama kepekatan nikotin yang dicampurkan.

Katanya, kepekatan paras nikotin di dalam cecair rokok elektronik yang tinggi akan menyebabkan ketagihan dan menyebabkan pengguna terus menghisap vape seperti ketagih merokok.

“Yang bahayanya, tanpa undang-undang mengawal vape, pengusaha kecil-kecilan boleh memasukkan nikotin ke dalam cecair vape, yang mana nikotin ini boleh dibawa masuk tanpa kawalan.

“Ini boleh dilakukan di “kaki lima” kedai sahaja. Jadi bagaimana mereka mengukur kepekatan nikotin dalam cecair vape? Badan mana yang akan mengawalnya?

“Allah saja yang tahu kepekatan nikotin dalam vape, industri yang menjadi kebanggaan sesetengah pemimpin kerana ramai anak Melayu yang terlibat,” kata beliau.-MalaysiaGazette