Lelaki ditemui mati terjatuh dalam longkang selepas terlibat dalam kemalangan di Taman Pandan Indah Ampang malam tadi. Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemui mati selepas dipercayai hilang keseimbangan dan terjatuh dalam sebuah longkang sedalam tiga meter.

Kejadian itu berlaku berhampiran sebuah kedai serbaneka 24 jam di Pandan Perdana Ampang Jaya di sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Morni Mamat berkata, bilik gerakan operasi negeri menerima panggilan awam memaklumkan penemuan seorang lelaki parah terjatuh ke dalam longkang pada jam lebih kurang 9.37 malam tadi.

Katanya, bertindak atas maklumat kecemasan itu, sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah telah bergegas dan tiba di tempat kejadian jam 9.54 malam.

“Pemerhatian mendapati seorang lelaki berusia lingkungan 40-an telah terjatuh di dalam longkang sedalam tiga meter.

“Anggota bomba membawa naik mangsa dari longkang tersebut kira-kira tiga minit kemudian,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa telah mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi kejadian.

Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati mangsa, seorang lelaki tempatan telah memandu kereta dan terlibat dalam kemalangan.

Difahamkan, dia kemudian keluar dari keretanya yang ditimpa kemalangan dalam keadaan kecederaan pada badan.

“Mangsa didapati dalam keadaan mabuk sebelum dipercayai terjatuh ke dalam longkang tersebut dan meninggal dunia,” tambah beliau. – MalaysiaGaette