Semua Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat selepas usul Wan Ahmad Fayhsal ditolak. Usul itu bagi membahaskan mengenai permohonan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat pagi ini kecoh seketika apabila barisan ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat akibat tidak puas hati dengan usul yang dibawa wakil mereka ditolak Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong.

Ia dibuat apabila Alice bertindak tidak menghiraukan kekecohan yang ditimbulkan pembangkang apabila usul untuk merujuk Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Kalau tidak puas hati boleh berjumpa dengan Speaker (Datuk Johari Abdul),” jawab Alice.

Keputusan itu dibuat apabila Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal bangun mempertikaikan keputusan Johari yang menolak usul tergempar yang telah dibuat bawah 27 (1) untuk membawa Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengelirukan dewan berkaitan dengan kuasa pengecualian cukai kononnya mutlak di bawah Ketua Pengarah LHDN sahaja.

Malah Perikatan Nasional (PN) turut meminta Dewan Rakyat membahaskan mengenai permohonan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Wan Ahmad Fayhsal memohon sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat untuk memberi laluan kepada usul itu bagi membincangkan pengeluaran lanjut KWSP secara bersasar kepada rakyat yang terdesak.

Episod itu dilanjutkan lagi dengan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang  mempertahankan usul itu harus dibahaskan kerana keperluan yang mendesak.

“Masalah ini harus dibincangkan ini masalah terdesak, rakyat mahu keputusan ini dibahaskan. Ada yang sanggup jalan kaki ke istana untuk nyatakan pendirian mereka. Apakah kerajaan tak sedar rakyat tunggu keputudsant yang dibuat,” katanya.

Alica bagaimanapun menasihatkan pembangkang untuk menghantar surat berkenaan perkara itu kepada Johari.

“Kalau tak puas hati, jumpa speaker,” ulang Alice.

Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) juga bangun dengan berkata: “Ini adalah kepentingan rakyat.”

Tidak puas hati dengan kenyataan Alice, Hamzah berkata, pihaknya akan bertindak keluar dewan sekiranya speaker masih enggan membahaskan usul berkenaan.

“Kalau tak mahu dibahaskan kami akan keluar,” ugutnya.

Alice pula berkata: “Kalau mahu keluar, keluar sahaja, jangan cakap guna mic (mikrofon)”

Kesemua ahli Parlimen pembangkang kemudiannya keluar mengosongkan blok mereka dan mengadakan sidang media di lobi Parlimen. – MalaysiaGazette