Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan April Tahun 2023 di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 03 APRIL 2023.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui masih ada pihak yang cuba untuk mendapatkan komisen ketika berurusan dengan kerajaan termasuk di pejabatnya sendiri.

Ketika berucap pada perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, beliau berharap semua pihak bekerjasama untuk membanteras budaya tersebut.

“Kita tidak boleh nafikan masih ada. Saya pun dengar kadang-kadang dia kata orang minta komisen dari pejabat saya, pejabat menteri dan pegawai,” katanya.

Menurut beliau, kaedah cekap dan bersih perlu ada dalam setiap urusan bagi menarik serta menambah keyakinan pelabur terhadap negara ini.

“Untuk membersihkan budaya lama itu memerlukan masa. Jadi, saya minta kerjasama saudara saudari, kerana apabila imej itu baik ia mudah sekali,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sekiranya tadbir urus atau tata kelola dan imej baik dapat dikekalkan, beliau percaya masa depan negara lebih cerah berbanding sebelum ini.

Tambahnya, beliau terasa seolah-olah ada lonjakan baharu terhadap imej dan harapan untuk Malaysia.

Anwar dilihat pemimpin yang tegas dalam membanteras segala amalan penyelewengan termasuk rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Beliau pernah mengarahkan supaya jabatan penguat kuasa mengambil tindakan tanpa mengira kedudukan dan fahaman politik ke atas sesiapa sahaja penjawat awam yang melakukan sebarang pelanggaran hukum.

Katanya, segala tindakan menangani salah guna kuasa bukan bersifat dendam politik namun merupakan tekad untuk tidak lagi bertolak ansur dalam melaksanakan perubahan serta memperbaiki kepincangan sistem sedia ada.

Malah, katanya, usaha memperbetulkan sistem adalah lebih sukar berbanding mematuhi arahan apatah lagi jika ada ‘fatwa’ daripada atasan yang kadang-kadang pegawai terpaksa mematuhi dan tidak banyak pilihan. – MalaysiaGazette