KUALA LUMPUR – Gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan siri jelajah di seluruh negara bagi mengecam langkah Dewan Rakyat yang menolak usul pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibahaskan hari ini.
Datuk Seri Takiyuddin Hasan (PN-Kota Bahru) berkata, langkah Yang di-Petua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menolak usul berkaitan rintihan rakyat menunjukkan kerajaan tidak cakna dengan keperitan rakyat yang terhimpit dengan tekanan ekonomi.
“Kita (pembangkang) minta penjelasan dan siapa yang nasihatkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) atau pun dia tidak dinasihatkan serta salah nasihat.
“Ini perkara yang bukan main-main, atas dasar itu kita akan buat jelajah di seluruh negara inilah dasar kerajaan Madani yang ada sekarang.
“Sekarang kami keluar mengatakan protes kepada jawapan, bagi kami, speaker tidak seharusnya menolak usul yang memenuhi ketiga-tiga ciri ini. Mengapa dia tolak, bagi penjelasan dan peluang kepada Menteri Kewangan untuk beri penjelasan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Semua Ahli Parlimen PN yang hadir bertindak keluar dewan sebagai protes apabila Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng tidak membenarkan usul pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibahaskan hari ini.
Ia apabila Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamil (PN-Machang) berdiri pada awal persidangan sesi membacakan aturan mesyuarat yang memaklumkan bahawa usulnya membahaskan isu tersebut ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat.
Dalam sidang media sama, Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) berkata Alice sengaja menggunakan Peraturan Mesyuarat 43 untuk mengelak daripada usul ini dibahaskan ketika sdiang Dewan Rakyat pagi tadi.
“Kita faham seksyen 43 itu, keputusan Speaker adalah muktamad tapi Dewan tidak boleh menggunakan peratutan mesyuarat untuk mengelak daripada menjawab, ini salah guna peraturan mesyuarat dan perlu dijelaskan oleh kerajaan,” kata bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu.
Semuanya bermula apabila Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamil (PN-Machang) berdiri pada awal persidangan sesi membacakan aturan mesyuarat yang memaklumkan bahawa usulnya membahaskan isu tersebut ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat.
Pun begitu dia menggesa agar usul tersebut tetap diizinkan untuk dibahaskan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.
Alice bagaimanapun bertegas dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan meminta Wan Ahmad Fayhsal menghantar usul berkenaan. – MalaysiaGazette