Foto Instagram Alyah.

KUALA LUMPUR – Semuanya bermula pada tahun lalu apabila penyanyi popular, Datin Alyah berkunjung ke Hotel Tenera Bangi bagi berbuka puasa.

Namun kunjungan itu rupanya membawa rezeki kepada wanita berusia 42 tahun ini.

Menerusi perbualan untuk bekerjasama secara gurauan, pemilik nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan terharu kerana buat pertama kalinya dia dilantik sebagai duta kempen Bufet Sentuhan Ramadan di hotel empat bintang itu sepanjang Ramadan ini.

Tawaran itu diterima selepas terlibat dalam bidang seni lebih 20 tahun lalu.

“Sepanjang terlibat dalam seni, ini kali pertama seumur hidup saya dipilih sebagai duta bersempena dengan kempen bufet Ramadan di mana saya tidak pernah terfikirkannya.

“Apabila tawaran ini hadir, saya sambut dan terima dengan rasa syukur dengan hati terbuka. Insya-Allah, saya akan turut serta pada hari tertentu sekaligus mengambil kesempatan untuk menghiburkan pengunjung,” katanya.

Isteri kepada maestro muzik, Datuk Ramli MS ini turut mengakui tawaran yang diterima cukup bermakna kerana ia satu tanggjungjawab yang besar.

Namun Alyah bersyukur kerana dia dapat mengumpul pahala sepanjang Ramadan apabila dapat mengajak tetamu menunai solat Maghrib, Isyak dan tarawih dengan selesa di hotel itu selain mengeratkan hubungan silaturahim antara tetamu yang datang menikmati juadah.

“Selain juadahnya yang beraneka dengan pakej mampu milik, Hotel Tenera turut menyedia ruang solat Maghrib dan terawih yang selesa. Ketika inilah juga orang kata nak kumpul pahala kerana tidak perlu terburu-buru selepas berbuka puasa.

“Itu antara sebab yang buatkan saya tertarik, selepas merasai sendiri pengalaman ketika berbuka puasa di sini tahun lalu. Malah saya turut bawa ibu dan paling saya utamakan adalah keselesaannya juga,” katanya lagi.

Sementara itu, dengan mengambil kira kos sara hidup yang kian meningkat, Hotel Tenera optimis mengekalkan harga bufet berbuka puasa di hotel berkenaan pada harga RM118 seorang dewasa, manakala RM58 untuk kanak kanak.

Pengurus Besar hotel tersebut, Fadzly Hamzah berkata, bagi penempahan awal, orang ramai boleh mendapatkan harga hanya RM88 seorang dan promosi itu berlangsung sehingga 28 Februari ini.

Harga tersebut dilihat berbaloi dengan hidangan kira-kira 200 menu terdiri daripada pembuka selera, pencuci mulut, makanan utama hinggalah kepada minuman sejuk dan panas.

“Kami mengunjurkan kira-kira 800 pengunjung sehari yang hadir berbuka puasa di sini dan sepanjang 26 hari jualan pada bulan tersebut, ia dianggarkan kira-kira 17,000 pelanggan.

“Jumlah sasaran ini memandangkan kami memiliki rekod yang baik dalam menghidangkan juadah berbuka puasa sebelum ini” katanya yang turut berbesar hati atas kesudian penyanyi Thank You Allah itu untuk bersama-sama mereka tahun ini.

Dalam pada itu, konsep gerai-gerai dalam menyajikan lauk pauk masih lagi diteruskan. Informasi lanjut mengenai buffet berkenaan boleh diperolehi menerusi di laman media sosial Hotel Tenera dan Alyah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast