Anwar dan songkok

CHINA adalah negara terkini dan kelapan menjadi destinasi diplomatik dan perdagangan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak menerajui negara pada Disember tahun lalu.

Manakala Indonesia adalah negara pertama menjadi pilihan Perdana Menteri kesepuluh itu bagi memperkenalkan pentadbiran baharu Malaysia sekali gus mengeratkan hubungan dengan negara tertangga.

Ketika misi diplomatik dan perdagangan di Indonesia, Anwar kelihatan memakai songkok. Ramai yang beranggapan ketika itu pemakaian itu adalah bagi mempamerkan sikap persaudaraan sesama bangsa Melayu dengan pemimpin Indonesia.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berjalan bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika Lawatan Rasmi ke Indonesia di Istana Bogor, Jawa Barat 9 Januari 2023. – AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri

Begitu juga apabila beliau turut memakai songkok ketika misi diplomatik dan ekonomi ke Brunei, Singapura, Thailand dan Filipina. Ia dilihat sebagai sesuatu yang normal dan biasa.

Di negara-negara itu songkok bukanlah asing. Songkok merupakan sejenis pakaian atau hiasan kepala tradisional yang biasa dilihat di Nusantara.

Ia telah dijadikan budaya setempat bagi semua kaum lelaki Melayu di Nusantara yang melewati Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, selatan Thailand dan selatan Filipina.

Bagaimanapun apabila Anwar hadir ke Turki baru-baru ini dalam lawatan singkat bagi melahirkan simpati dan menghulurkan bantuan terhadap rakyat dan negara yang dilanda gempa bumi, beliau turut memakai songkok.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tiba di Turkiye Presidential Complex, Bestepe, untuk bertemu dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Ankara, Turkiye, 15 Februari 2023. – SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

Begitu juga ketika menjejakkan kaki di China baru-baru ini, Anwar turut tampil memakai songkok.

Hiasan kepada lelaki Melayu itu pada ketika ini hanya dipakai ketika hari raya, perkahwinan dan kenduri, kelihatan menjadi sebahagian identiti Anwar ketika berada di luar negara.

Menariknya bukan sahaja Anwar, malah sebahagian besar deligasi yang mengikuti Perdana Menteri termasuk bukan Melayu turut memakai songkok.

Sejarah Melayu sejak dari dahulu telah merakamkan bahawa songkok pernah menjadi pakaian seharian.

Ia menjadi sebahagian daripada pakaian kebangsaan negara di mana ia dipakai oleh kaum lelaki sebagai pelengkap kepada baju kebangsaan iaitu baju Melayu.

Songkok merupakan sebagai sebahagian daripada jati diri bangsa Melayu. Hilangnya budaya bersongkok dianggap sebagai hilangnya satu rupa Melayu pada diri seseorang.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi National People’s Congress China, Zhao Leji, di Great Hall of the People, Beijing, 31 Mac 2023. – SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

Pemimpin Melayu yang terkenal memakai songkok adalah Sukarno yang menjadikan ia sebagai sebahagian daripada identiti dirinya. Di Indonesia songkok dikenali sebagai peci.

Presiden pertama Indonesia itu dalam banyak kegiatan kenegaraan, baik di dalam negeri mahupun antarabangsa tidak pernah melepaskan songkok hitam di kepalanya.

Kompos.com portal berita Indonesia merakamkan, dalam Sejarah Penutup Kepala di Indonesia: Studi Kasus Pergeseran Makna Tanda Peci Hitam (1908-1949), dituliskan saat ada rapat organisasi, Sokarno memakai peci sebagai tanda pengenal diri pemimpin ulung tersebut.

Pernah dalam satu himpunan di Surabaya pada Jun 1921, beliau diminta untuk melepas songkok yang dipakainya namun Sukarno menolak dengan prinsip dirinya bukan pengikut tapi sebagai pemimpin.

Saat masuk ke ruang rapat, semua mata terarah Sukarno yang memakai songkok tanpa kata-kata.

Di saat itu Sukarno berusaha memecah kesunyian dengan mengatakan, “Janganlah kita melupakan demi tujuan kita bahwa para pemimpin berasal dari rakyat. Setelah itu yang terjadi tetaplah sama semua mata masih memandanginya”.

Ketika itu, Sukarno memiliki pedoman bahawa songkok memberikan sifat khas individu seperti yang dipakai oleh pekerja-pekerja dari bangsa Melayu.

Dengan semangat, Sukarno mengajak semua anggota yang hadir untuk mengangkat kepala tinggi-tinggi dan memakai songkok sebagai lambang Indonesia Merdeka.

“Kita memerlukan sebuah simbol dari kepribadian Indonesia. Peci yang memiliki sifat khas ini, mirip yang dipakai oleh para buruh bangsa Melayu, adalah asli milik rakyat kita.

“Menurutku, marilah kita tegakkan kepala kita dengan memakai peci ini sebagai lambang Indonesia Merdeka,” ungkapan popular Sukarno tentang songkok.

Di Malaysia, songkok dipakai oleh pemimpin Melayu. Foto Perdana Menteri pertama Tengku Abdul Rahman sehinggalah kepada penganti-pengantinya memperlihatkan mereka memakai songkok sebagai lambang jati diri Melayu.

Ahli parti Melayu seperti UMNO memakai songkok ketika menghadiri perhimpunan agung.

Songkok benar-benar simbol jati diri orang-orang Melayu Malaysia yang beragama Islam. Simbol itu kini dipakai oleh Anwar ketika berada di luar negara.-MalaysiaGazette