Bangunan Kementerian Kewangan. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 diawalkan dan akan mula dikreditkan kepada penerima secara berperingkat 5 April ini.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata, ia bagi meringankan beban sara hidup rakyat menjelang Aidilfitri.

Katanya, pembayaran STR Fasa 2 ini secara keseluruhan bernilai RM1.26 bilion dengan 8.7 juta penerima golongan B40.

“Bagi kategori isi rumah sebanyak 4.0 juta penerima setiapnya menerima RM200; 1.3 juta warga emas tiada pasangan masing-masing menerima RM100 begitu juga bagi bujang seramai 3.5 juta penerima,” kata MoF menerusi kenyataan.

Sementara itu MoF berkata, penerima STR di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank atau tiada akaun bank akan turut menerima pembayaran pada tarikh yang sama.

Tambahnya, penerima STR yang tiada akaun bank boleh membuat penunaian di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) pada hari yang sama.

“Dengan pembayaran ini, sejumlah RM2.93 bilion peruntukan STR telah dibayar kepada golongan B40 pada tahun 2023,” tambah Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu MoF berkata, pembayaran STR bagi Fasa 3 dan Fasa 4 akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu Julai dan November tahun ini .

Sehingga 31 Mac 2023 sebanyak 714,918 permohonan baharu dan 2,618,104 permohonan telah diterima dan akan melalui proses verifikasi sebelum diluluskan mengikut kategori kelayakan STR. – MalaysiaGazette