Maqis Pulau Pinang menyita 25 tan dada ayam sejuk beku yang gagal menyatakan maklumat sijil halal dengan jelas menerusi pemeriksaan kontena di Butterworth pada Sabtu lalu.

BUTTERWORTH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menyita 25 tan dada ayam sejuk beku yang dibawa masuk dari Thailand susulan tidak menyatakan maklumat sijil halal dengan jelas.

Pengarah Maqis negeri, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, rampasan itu dibuat selepas pihaknya melaksanakan operasi di pintu masuk Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini pada Sabtu lalu.

Jelas beliau, pemeriksaan lanjut mendapati dada ayam sejuk beku seberat 25,000 kilogram (kg) itu tidak mematuhi syarat permit import ditetapkan.

Pegawai Maqis melakukan pemeriksaan ke atas kontena yang membawa dada ayam sejuk beku dari Thailand yang mana status halalnya diragui.

“Bukan sahaja itu, konsainan bernilai RM240,000 dari Thailand itu juga didapati tidak menyatakan maklumat sijil halal dengan jelas.

“Susulan itu, kita sita kesemua dada ayam sejuk beku tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kesemua dada ayam sejuk beku yang dirampas bernilai RM240,000.

Tambah Muhammad Ikram, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam (6) tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 15(2) akta yang sama. – MalaysiaGazette