KUALA LUMPUR – Kira-kira 70 peratus peniaga meraih peningkatan keuntungan hasil daripada jualan di bazar-bazar Ramadan di seluruh negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, dapatan itu diperoleh hasil kaji selidik terhadap 1,148 responden peniaga di bazar Ramadan.
Bagaimanapun beliau berkata, hanya 30 peratus sahaja peniaga yang menyatakan pengurangan dari segi keuntungan itu.
“Sebanyak 69 peratus peniaga menyatakan terdapat peningkatan pelanggan di premis mereka manakala, 31 peratus lagi mengatakan sebaliknya.
“Begitu juga dengan aspek jualan di mana 63 peratus mengatakan ada peningkatan ke atas hasil jualan namun, 37 peratus lagi memaklumkan terdapat penurunan daripada hasil jualan mereka,” katanya pada sidang media di Pusat Media, di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Salahuddin lagi, kaji selidik yang dijalankan bertujuan bagi menilai sambutan pengguna terhadap bazar Ramadan dan melihat aspek keuntungan yang diperoleh peniaga.
Selain itu katanya, kaji selidik tersebut juga adalah bagi mengumpul maklumat berhubung hasil jualan yang diperolehi berbanding sasaran jualan oleh peniaga itu sendiri.
“Para peniaga mengharapkan pengunjung semakin bertambah dan berbelanja di bazar Ramadan serta kos bahan mentah dapat diturunkan bagi membantu peniaga mengimbangi harga jualan mereka.
“Selain itu, peniaga juga berharap agar promosi yang lebih baik dapat dilakukan agar pengunjung bazar Ramadan semakin meningkat, selain pengurangan kadar sewa tapak, meningkatkan aktiviti penguatkuasaan, kebersihan tapak perniagaan bazar dan bantuan dari segi modal serta kewangan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















