Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Isu berkenaan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang sekali lagi menjadi topik hangat dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau)membangkitkan perkara itu ketika mencelah ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, soalan itu ditanyakan susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail apabila menyatakan boleh bertanya apa sahaja soalan kepada Perdana Menteri jika Ahli Parlimen Tambun itu berada di Dewan Rakyat.

“Ahli Parlimen PH (Pakatan Harapan) hari ini balik gembira sebab dapat peruntukan RM800,000. Kami tak dapat apa-apa. Jadi, saya minta kepada Perdana Menteri tolong bagi penjelasan, kalau tak boleh bagi banyak, bagi sikit sebab kami nak buat beli kurma buat rakyat miskin,” kata Shahidan.

Mendengar pertanyaan itu, Anwar menjawab kelulusan mengenai perkara itu telah pun dibuat sebelum ini.

Katanya, timbalan beliau, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mengetuai pasukan yang mengurus berhubung perkara itu meminta pembangkang mengadakan untuk mengadakan rundingan sekiranya mahu kelulusan diberi mengenainya.

Bagaimanapun, katanya, jika pasukan itu tidak bersedia, kelulusan itu akan ditangguhkan.

“Saya sudah sebut di sini (di Dewan Rakyat) kelulusan telah diputuskan cuma Timbalan Perdana Menteri Petrajaya mengetuai pasukan dan minta supaya pembangkang mengadakan rundingan tentang parameters diluluskan.

“Apa masalah dia, kalau mereka (pembangkang) tidak bersedia (untuk berunding) mereka kena tanggung. Saya sudah beritahu kepada Kubang Kerian (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) pun begitu.

“Sudah ada kelulusan dan biar ada rundingan kerana ini juga perkara yang dilakukan dulu oleh Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan). Sebelum itu tiada kelulusan untuk berbincang (ketika era Kerajaan Perikatan Nasional),” katanya.

Terdahulu sebelum ini, media melaporkan, Anwar bertegas untuk tidak pernah menolak prinsip bagi memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang namun ia perlu dimulakan dengan proses rundingan.

Tindakan itu selari dengan amalan dipraktikkan kerajaan yang diterajui bekas Pedana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – MalaysiaGazette