Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Salleh bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malayia di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 04 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO bercadang untuk memasuki sekolah-sekolah dalam usaha untuk memulakan program pengkaderan bagi menarik pengundi 18 tahun.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkata, cadangan itu bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan politik kepada pelajar sehingga mereka boleh menjadi pengundi 18 tahun pada Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU16).

“Memang ada (cadangan masuk universiti). Sebab itu di bawah biro pengkaderan dan latihan bukan setakat di universiti tetapi kita akan fokus juga di sekolah. Kita sedia maklum bila Undi18, kalau menjelang PRU16, hari ini adik-adik kita yang berumur di Tingkatan Dua nanti apabila PRU16 sudah boleh jadi pengundi.

“Sudah pasti ini antara fokus kita tetapi kita nak masuk ke universiti, nak masuk ke sekolah mestilah melalui prosedur yang betul. Sebagai seorang pemimpin, kita nak masuk universiti, nak masuk sekolah…kita tak boleh langgar undang-undang sekolah serta universiti,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Jelas Akmal, sebagai pemimpin langkah itu memerlukan cara kreatif dan berhemah dalam merangka program selain mengikut peraturan ditetapkan apabila ingin memasuki sekolah serta universiti.

“Ia tertakluk bagaimana dengan biro nanti kita akan bincang bersama. Kita tak nak masuk universiti tetapi langgar undang-undang universiti tersebut.

“Ini bukan pemuda UMNO. Kita nak masuk dengan penuh berhemah, tatasusila yang baik supaya kita nak adakan hubungan yang baik antara Pemuda UMNO dengan universiti dan juga pihak sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal berkata, mesyuarat sayap pergerakan kali pertama hari ini turut bersetuju untuk mewajibkan Pemuda UMNO Bahagian melantik sekurang-kurangnya seorang ahli jawatankuasa berumur bawah 25 tahun.

Ketetapan itu tambah Akmal adalah langkah untuk Pemuda UMNO memperkukuhkan daripada segi sokongan akar umbi dan sokongan golongan muda bagi menghadapi PRU16 dan PRN akan datang.

Tambahnya, ia termasuk mencari penyelesaian bagi memudahkan masyarakat terutama golongan muda untuk menjadi ahli parti.

“Kita akan menghadapi PRU16 dan PRN mendatang dengan Undi18 yang mana rata-rata pengundi sekarang ini hampir 51 peratus adalah pengundi berumur di bawah 40 tahun. Kebanyakan mereka ini berumur ada di bawah 25 tahun juga.

“Sehubungan itu kita mengambil ketetapan akan meminta untuk mewajibkan semua Pemuda UMNO Bahagian untuk membuat lantikan ahli jawatankuasa di peringkat bahagian, wajib sekurang-kurangnya mempunyai seorang yang berumur di bawah 25 tahun,” ujarnya. – MalaysiaGazette