PETALING JAYA – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang melibatkan jajaran Selangor disifatkan sebagai paling kritikal berbanding tiga negeri lain iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pembinaan jajaran C1B di bahagian utara negeri berkenaan dilihat kompleks kerana melibatkan pelbagai jenis pembinaan selain jambatan dan terowong.

“Saya katakan kritikal sebab kita telah memulakan projek ECRL ini sejak 2017, berhenti seketika pada Julai 2018 dan disambung semula pada April 2019 dan kita mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri untuk kita melaksanakan projek ECRL melalui jajaran utara bermula Disember 2021 dan kita hanya dapat memulakan kerja pembinaan dengan kerjasama yang baik daripada seluruh jabatan dan agensi negeri dan persekutuan, memberikan kelulusan kepada kita pada Jun 2022.

“Cabaran kita adalah kita akan menyiapkan jajaran C1B, yang sepatutnya siap sepenuhnya daripada Kota Bharu ke Gombak. Jajaran ini pendek saja lebih kurang 16 hingga 17 kilometer(km) sahaja daripada jajaran keseluruhan Selangor iaitu sebanyak 108 km.

“Daripada jumlah tersebut ada 21 km jumlah panjang terowong di Selangor dan ada lebih kurang 31 km jambatan yang akan dibina di jajaran Selangor,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar bersama ECRL, di sini, hari ini.

Darwis berkata, sehingga kini kemajuan keseluruhan projek berkenaan adalah 40.81 peratus siap.

Sehubungan itu, beliau berharap jabatan dan agensi di bawah kerajaan negeri berkenaan dapat memberikan kerjasama yang baik kepada proses pembinaan berkenaan agar dapat siap mengikut jadual.

“Sebab itu kita katakan kritikal dan kita minta dan harap dengan kerjasama dan komitmen semua agensi persekutuan, negeri Selangor untuk menyiapkan projek mega ini yang dijangka siap sepenuhnya,” tambah beliau.

Projek ECRL sepanjang 665 km dianggarkan menelan belanja sebanyak RM50.27 bilion membabitkan jajaran empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Perkhidmatan berkenaan dijangka beroperasi pada Januari 2027 dan boleh menampung 5.6 juta penumpang setahun.

Ia juga boleh memuatkan 440 penumpang bagi satu perjalanan membabitkan enam gerabak. – MalaysiaGazette