NEW YORK – Harga minyak dunia melonjak selepas pengeluar utama mendedahkan keputusan mengejutkan pada hujung minggu untuk mengurangkan pengeluaran.

West Texas Intermediate (WTI) bagi penghantaran Mei meningkat AS$4.75 dolar atau 6.28 peratus, untuk ditutup pada AS$42 dolar setong di New York Mercantile Exchange.

Manakala minyak mentah Brent untuk penghantaran Jun meningkat AS$4 dolar, atau 6.31 peratus, untuk ditutup pada AS$93 dolar setong di Bursa Hadapan ICE London, lapor Xinhua.

Prestasi ini menyaksikan keuntungan harian terbesar bagi WTI sejak 12 April 2022, dan prestasi harian terbaik untuk Brent sejak 21 Mac 2022, menurut data pasaran Dow Jones.

Anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, yang dikenali secara kolektif sebagai OPEC+, pada Ahad secara tidak dijangka mengumumkan pemotongan pengeluaran minyak mentah lebih daripada 1 juta tong sehari (bpd) dari Mei hingga akhir 2023.

Arab Saudi akan mendahului pemotongan sukarela sebanyak 500,000 bpd, manakala Iraq, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Algeria, Oman, Kazakhstan dan Gabon juga akan mengambil bahagian dalam pemotongan itu.

Sementara itu, Rusia berkata, ia akan melanjutkan pemotongan sukarela sebanyak 500,000 bpd sehingga akhir tahun ini.

Sehubungan itu, ini akan menjadikan jumlah pelarasan pengeluaran sukarela tambahan oleh negara-negara yang disebutkan di atas kepada 1.66 juta tong sehari, kata OPEC dalam satu kenyataan.

Langkah itu “merupakan langkah berjaga-jaga yang bertujuan menyokong kestabilan pasaran minyak,” kata kenyataan itu.

Pengurangan itu adalah tambahan kepada pemotongan 2 juta tong pengeluaran yang diumumkan oleh OPEC+ pada Oktober lalu.

Goldman Sachs meningkatkan ramalannya untuk harga minyak berikutan pemotongan ini, mengunjurkan Brent boleh mencecah AS$95 dolar setong menjelang Disember 2023, berbanding dengan anggaran sebelumnya AS$90 dolar setong.

Bank itu juga menaikkan unjuran minyak mentah Brent untuk 2024, kini menyaksikannya pada AS$100 dolar setong pada akhir tahun daripada unjuran awal AS$97 dolar. – Agensi